Tiga Beranak Dikhuatiri Lemas

Rantau Panjang – Kegembiraan tiga beranak membeli-belah sebagai persiapan menyambut ketibaan Hari Raya Aidiladha di Pasar Mundok bertukar tragedi, selepas perahu yang mereka naiki terbalik di Sungai Golok, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Rosmiwati Zakaria, 37 tahun; bersama dua anaknya, Wan Nurdina Nadia Wan Azli, 10 tahun, dan Wan Nurhabib Naufal, 6 tahun, dikhuatiri lemas, selepas perahu yang dipercayai dinaiki kira-kira 15 orang dari arah Pasar Mundok ke tebing Malaysia, di Kampung Bukit Lata itu, terbalik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Rahmat Kamaruzaman, berkata mayat Rosmiwati ditemui kira-kira jam 5.45 petang, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian, manakala dua anaknya masih hilang.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.45 petang, dengan operasi mencari dan menyelamat disertai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pasir Mas, Kota Bharu dan Pengkalan Kubor, termasuk Unit Selam Kota Bharu.

Turut menyertai operasi itu adalah 10 anggota polis dan 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Jelasnya, Rosmiwati yang bekerja sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jerantut, pulang menyambut Aidiladha di kampungnya di Pintu Geng, Kota Bharu.

Sementara itu, adik Rosmiwati, Nor Fatin Adiani, 23 tahun, berkata seramai 11 ahli keluarganya pergi ke Pasar Mundok untuk membeli-belah.

Menurutnya, dia bersama tiga ahli keluarga lain menaiki sebuah bot, sementara tujuh lagi menaiki bot berikutnya.

“Kami tunggu ahli keluarga yang lain di kawasan tempat letak kereta kerana hujan.

“Saya terkejut apabila mendengar orang menjerit perahu terbalik, dan mendapati ahli keluarga saya terlibat dalam kemalangan itu,” katanya.

Nor Fatin berkata, jumlah penumpang yang menaiki perahu pada hari berkenaan ramai, memandangkan ramai orang yang keluar membeli-belah menjelang ketibaan Aidiladha, pada Ahad.

“Saya ada dengar, bilangan penumpang dalam perahu itu ramai, tetapi pemandunya tetap meneruskan perjalanan.

“Tidak sampai beberapa minit perahu itu berlepas dari tebing, perahu terbalik dan semua yang berada dalam perahu terjatuh ke dalam sungai,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.