Teguran ‘Keras’ Hadi Bersebab, Ahli PAS Perlu Akur – Hashim Jasin

Kuala Lumpur – Veteran PAS Hashim Jasin tidak menolak kemungkinan teguran ‘keras’ presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini dibuat kerana merasakan diri diketepikan selain kecil hati dengan sikap pemimpin PKR-DAP dan ahli parti walaupun telah bertolak-ansur dalam banyak perkara.

“Saya tak naklah nak kat PKR atau apa pun tapi orang buat kepada dia teruk.

“Selama ini dia terima…terima…terima tapi dia dikebelakangkan maka sepatutnyalah ada sebab-sebab tertentu yang saya yakin presiden mempunyai alasan yang kukuh dan bertanggungjawab dengan Allah atas apa yang disampaikan,” katanya.

Untuk rekod, dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS kali ke-60 pada 20 September lalu Abdul Hadi menghantar isyarat yang jelas dan keras terhadap rakan komponen Pakatan Rakyat yang memperlihatkan komitmen parti itu untuk konsisten meneruskan tahaluf siyasi dalam gabungan itu terus.

Sebelum ini Pakatan berantakan akibat percanggahan pendirian dalam memilih calon Menteri Besar Selangor yang turut menjadi punca perbalahan dalaman PAS kerap berulang.

Ahli dan pimpinan wajib pegang kaedah wala

Tegas Hashim yang memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Syura Ulama ini, selaku pemimpin Abdul Hadi tidak perlu menjelaskan tentang sebab dan alasan teguran tersebut dibuat.

“Itulah, yang pertama saya nampak agak keras sikit ucapan presiden dibandingkan pada masa-masa yang lalu ,” katanya.

Sebaliknya jelas beliau, ahli-ahli PAS perlu akur dengan teguran dan arahan yang dibuat oleh Abdul Hadi itu.

“Itu sesuatu yang kita terimalah tetapi kita tak pernah bertanya kenapa perkara ini berlaku, dah tentu ada sebab-sebabnya dan tak perlu presiden menceritakan.

“(Kerana) kita pegang pada kaedah mesti bagi wala’ (ketaatan) kepada pemimpin dan pemimpin tidak bertanggungjawab hanya pada pengikut tapi dia (pemimpin) ada tanggungjawab lebih besar dengan Allah,” katanya menyentuh aspek ketaatan kepada pemimpin PAS. atau wala’.

Ucapan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sarat dengan nasihat, teguran, kritikan, persoalan dan pendirian untuk mempertahankan parti Islam itu daripada cubaan mengikis imej Islam dan perlembagaannya apabila melakukan kerjasama politik bersama PKR dan DAP.

Muktamar tahunan kali ke-60 itu juga telah menyerlahkan belang sebenar Abdul Hadi, pimpinan dan perwakilan yang sebulat suara mahu menepis anasir luar termasuk rakan komponen dalam menentukan hala tuju PAS, sedang tahaluf siyasi membenarkan mereka mengamalkan ideologi masing-masing.

Abdul Hadi juga turut memberi amaran kepada rakan tahalufnya supaya tidak menjadikan PAS sebagai tempat persinggahan demi mencapai tujuan dan matlamat politik mereka.

 

Abdul Hadi ada sebab dan alasan tersendiri

Bagi menjelaskan konsep wala’, Hashim yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengambil contoh kisah Saidina Khalid Al Walid yang diturunkan jawatan panglima perang oleh Saidina Umar Al Khattab ketika sedang bertugas dan digantikan dengan Abu Ubaidah Al-Jarrah.

“Sebagai contoh ketika Saidina Umar Al Khattab memecat Khalid Al Walid yang mengetuai peperangan dengan Rom.

“Dia buat keputusan semasa tengah berperang, tiba-tiba dia pecat Khalid dan tiada siapa bantah kerana dia gunakan dia bertanggungjawab dengan Allah,” katanya.

Tambah Hashim, Khalid Al Walid akur dengan keputusan pertukaran itu, tanpa sebarang bantahan.

“Dia gunakan kuasa yang diberi kepadanya itu kerana dia buat sesuatu itu dia ada sebabnya dan tak perlu cerita kepada orang lain tapi akhirnya orang baru nampak kenapa Umar berbuat demikian.

“Kalau Nabi itu tak apalah kerana Nabi dah ada bimbingan Allah tapi ini sahabat (Nabi), Umar pun dah menunjukkan dia bertanggungjawab dengan Allah maka dia tahu mengapa dia buat begitu.

“…dan saya yakin ustaz Abdul Hadi juga apabila dia keluarkan kata-kata yang agak keras itu kita tak tahu apa di sebalik yang menyebabkan ia begitu,” katanya.

Semasa sesi penggulangan muktamar aspek ketaatan kepada pemimpin PAS atau wala’ turut diberi penekanan oleh Abdul Hadi kepada pimpinan semua peringkat dan ahli parti Islam itu dalam ucapan penggulungannya.

Menurutnya, tindakan pemimpin dan ahlinya yang tidak wala’ adalah bertentangan dengan prinsip berjemaah dalam parti itu, dan wala’ kepada pihak lain adalah haram dalam jemaah Islam.

Begitu juga katanya dengan tindakan membocorkan rahsia mesyuarat parti serta membawa agenda pihak lain ke dalam parti.

“Wala’ dengan pihak lain diharamkan, kita kena pegang kepada jati diri Islam,” katanya.

Menurut Hashim lagi, buat masa ini semua ahli dan pimpinan PAS perlu ikut semua nasihat Abdul Hadi.

“Bagi kita sebagai ahli biasa, selama mana dia tak mengajak kita menderhaka kepada Allah maka wajib kita taat.

“Banyak hadis-hadis yang menunjukkan tentang perkara itu,” katanya.

Ujar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang ini, teguran dan arahan Abdul Hadi itu perlu dilihat dari sudut positif bukannya negatif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.