Skuad Sepak Takraw Negara Semakin ‘Hilang Taring’

Kuala Lumpur – Ketua kontinjen negara, Datuk Danyal Balagopal Abdullah melahirkan rasa kecewa terhadap prestasi skuad sepak takraw negara yang dilihat semakin ‘hilang taring’ setelah gagal menamatkan badi kekalahan kepada Thailand menerusi acara berpasukan lelaki dan regu lelaki.

“Kita sepatutnya mendominasi sukan tradisi masyarakat Melayu ini kerana Malaysia satu ketika dulu amat digeruni malah kitalah yang memperkenalkan sukan sepak takraw kepada dunia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau kecewa terhadap sikap pengurus sepak takraw yang tidak bersama-sama pasukan atas faktor peribadi.

“Tanpa perlu saya sebutkan nama, sikap tidak bertanggungjawab pengurus pasukan sepak takraw menukar jadual penerbangan beberapa kali menyebabkan kad akreditasi dibatalkan penganjur sehingga menyusahkan pasukan,” katanya.

Danyal berkata beliau merasa kasihan melihat jurulatih sepak takraw kebangsaan Jamaluddin Hasan terpaksa mengurus sendiri pasukannya.

“Saya harap selepas ini pihak persatuan dapat mengambil tindakan terhadap individu terbabit dan akan lebih berhati-hati dalam melantik pengurus pasukan,” katanya.

Beliau berkata sekiranya mereka yang dilantik sebagai pengurus pasukan merasakan bahawa mereka tidak layak melakukan tugas tersebut, lebih baik diberikan kepada orang lain.

“Saya akan masukan perkara ini dalam laporan apabila tiba di Malaysia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.