Semalaman Dalam Perigi

Tanah Merah – Seorang lelaki yang menghidap sindrom Down berjaya diselamatkan, selepas dipercayai terperangkap semalaman dalam sebuah perigi berdekatan rumahnya, di Kampung Berchang, Bukit Panau, pada Khamis malam.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.15 pagi Jumaat, memaklumkan seorang lelaki berusia 33 tahun terperangkap dalam sebuah perigi sedalam lapan hingga 10 meter.

Susulan itu, empat anggota bergegas ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang berada pada kedalaman empat hingga lima meter, menggunakan kaki tiga.

“Badan mangsa diikat dengan tali oleh seorang anggota yang turun ke dalam perigi, bagi memudahkan operasi menyelamat.

“Orang awam turut membantu dalam operasi ini, dengan menarik tali bagi mengeluarkan mangsa dari perigi itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang dipercayai tidak tahu berenang itu, cuba menahan badannya daripada tenggelam ke dalam air, menggunakan kaki, lutut dan bahagian belakang badannya di dinding perigi.

Menurutnya, kehilangan mangsa hanya disedari pada awal pagi Jumaat, ketika ahli keluarga mahu memberi ubat kepadanya.

“Dipercayai mangsa terperangkap hampir semalaman di dalam perigi yang terletak kira-kira enam meter dari rumahnya, tetapi tiada siapa tahu bila masanya mangsa terjatuh ke dalam perigi itu.

“Ketika dibawa keluar dari perigi itu, mangsa dalam keadaan lemah dan mengalami luka di bahagian lutut, kaki dan belakang badan, sebelum dia dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk menerima rawatan,” katanya.

Jelasnya, perigi yang masih digunakan itu tidak ditutup, dan dipercayai mangsa bermain di kawasan berkenaan sebelum terjatuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.