Rundingan Akhir Untuk Bebaskan Konstabel Zakia

Kuala Lumpur – Polis kini dalam rundingan akhir untuk membebaskan anggota polis marin yang diculik sekumpulan penceroboh di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna pada Julai lepas, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman hari ini.

Beliau berkata pihaknya mendapat kerjasama pihak Filipina dalam urusan rundingan dengan kumpulan penjenayah terbabit bagi membebaskan Konstabel Zakia Aliep yang diculik pada 12 Julai lepas.

“Perkembangan kes setakat ini berjalan dengan baik dan terkawal. Mangsa berada dalam keadaan selamat dan kini dalam proses rundingan akhir antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Filipina dengan suspek penculikan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis jamuan Aidiladha di Masjid Nur Islam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

Jalaluddin berkata mangsa telah menghubungi anggota keluarganya sebanyak 79 kali sejak diculik kumpulan bersenjata itu.

Beliau berkata pengusaha ikan dalam sangkar Chan Sai Chiun yang diculik di Kampung Sapang Air, Kunak pada 16 Jun lepas juga berada dalam keadaan selamat dan pihak polis juga sedang berusaha untuk pembebasannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.