Rakan Kongsi Jualan Microsoft Di Malaysia Sokong MSN Baharu

Kuala Lumpur – Rakan kongsi jualan pengiklanan eksklusif Microsoft di Malaysia, Better Sdn Bhd (Better), menyokong rangkaian baharu Microsoft, Microsoft Network (MSN), yang menampilkan kandungan premium dari lebih 1,000 outlet media.

Better merupakan wakil media digital premium terbesar di Asia Tenggara, yang beribu pejabat di Malaysia, dengan pejabat di Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Dalam satu kenyataan bersama, Microsoft dan Better berkata sejak MSN baharu dilancarkan tiga minggu lepas, hampir 10 juta orang di seluruh dunia telah menguji tapak baharu berkenaan dan lebih 80,000 memberi maklum balas mereka.

Dalam tempoh 72 jam akan datang, Microsoft berkata syarikat akan menyaksikan pelancaran MSN baharu kepada lebih 425 juta orang di lebih 50 pasaran seluruh dunia yang melayari tapak berkenaan setiap bulan.

Mereka yang menggunakan Windows dan Windows Phone 8.1 juga mempunyai pilihan untuk mengemas kini peranti mereka kepada aplikasi MSN yang baharu bermula hari ini, kata kenyataan itu.

Rangkaian berkenaan termasuk program berasaskan web dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Microsoft Corporation.

MSN menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk berita, enjin pencarian, forum dipacu pengguna, pesanan segera, emel dan perkhidmatan untuk berhubung kepada Internet.

Pengguna Microsoft Windows akan dapat menyelaraskan sistem komputer mereka dengan perkhidmatan dalam talian yang ditawarkan sebagai kaedah tugas mengurus dan menyusun secara berpusat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.