Polis Buru 9 Lelaki Terbabit Pergaduhan Kumpulan

Georgetown – Polis Pulau Pinang sedang menjejaki lapan atau sembilan anggota kongsi gelap Geng 24, yang terbabit dalam pergaduhan kumpulan di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata anggota daripada kumpulan itu dipercayai terbabit dalam pemerasan, sindiket perlindungan dan pergaduhan kumpulan.

Beliau berkata, pergaduhan itu berkemungkinan berpunca daripada perebutan kawasan dan polis menggesa mereka yang terbabit supaya menyerah diri di balai polis sebelum tindakan untuk menahan mereka diambil.

“Kami sudahpun mengenal pasti lapan atau sembilan daripada mereka yang terbabit dalam pergaduhan kumpulan dan kami akan menjejaki mereka sekiranya mereka tidak menyerah diri kerana kami percaya mereka bersembunyi di negeri berjiran,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka yang terbabit dalam pergaduhan kumpulan minggu lalu itu akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Jenayah 2013.

Bagaimanapun, Abdul Rahim berkata polis percaya Geng 24 sudahpun bergabung dengan satu lagi kumpulan ganas, Sio Sam Ong (Tiga Maharaja Kecil) untuk melakukan jenayah di negeri ini.

“Saya sudah beri amaran kepada mereka jangan timbulkan masalah dan selepas ini kami akan mengenal pasti setiap seorang daripada mereka di tempat yang mereka sering lakukan jenayah.

“Kami tidak akan membiarkan aktiviti seperti ini dan telah mempertingkatkan tindakan keras ke atas gengster ini,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai membuat laporan sekiranya terdapat sebarang aktiviti pemerasan atau melihat sesuatu yang meragukan.

Antara kongsi gelap yang aktif di Pulau Pinang adalah Phneah, Ang Kim Leng dan Geng Melayu 77 selain Geng 04 dan 08 yang dikuasai kaum India.

Laporan sebelum ini menyebut polis menyaring 30,112 orang sejak Ops Cantas Khas dilancarkan pada Ogos tahun lalu dan daripada jumlah itu, 6,334 orang ditahan kerana pelbagai kesalahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.