Jemaah Haji Malaysia Kini Di Mina Hingga Selasa

Makkah – Jemaah haji Malaysia kini berada di Mina, kira-kira tujuh kilometer dari sini, untuk mengerjakan ibadah melontar di ketiga-tiga jamrah – Kubra, Wusta dan Sughra, setelah tiba di Mina awal pagi Sabtu selepas bermabit di Muzdalifah.

Mereka yang tiba secara berperingkat dari Muzdalifah, telah memulakan ibadah melontar bermula di Jamrah Kubra pada 10 Zulhijah iaitu pada Sabtu mulai selepas terbit fajar, yang bersamaan dengan hari raya Aidiladha di sini.

Jemaah haji akan terus berada di sini hingga 11, 12 dan 13 Zulhijjah atau dikenali sebagai hari Tasyriq (Ahad, Isnin dan Selasa) untuk melakukan lontaran di ketiga-tiga jamrah.

Waktu melontar di setiap jamrah dengan tujuh biji batu kecil bermula selepas terbit fajar pada 11 Zulhijjah sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata walaupun terdapat kira-kira 2.1 juta jemaah haji berada di Tanah Suci kali ini, pergerakan jemaah haji dari Makkah ke Arafah, dan kemudiannya ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina berjalan dengan lancar.

“Saya amat sukacita kerana pergerakan jemaah haji Malaysia dari Muzdalifah ke Mina telah membuat satu rekod kerana telah berjaya sampai lebih awal daripada jangkaan yang dibuat, ” katanya dalam wawacara secara langsung dengan RTM untuk program Salam Baitullah pada Sabtu.

Syed Saleh berkata pihaknya membuat jangkaan kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia tiba di Mina pada 4.15 pagi Sabtu (9.15 pagi waktu Malaysia), tetapi semua jemaah berjaya dibawa ke Mina pada pukul 3.45 pagi (8.45 pagi waktu Malaysia) iaitu setengah jam lebih awal.

“Ini memandangkan tahun ini merupakan Haji Akbar kerana hari Wukuf jatuh pada hari Jumaat. Tahniah kepada kerajaan Arab Saudi yang mendapat mengawal pergerakan kenderaan keluar dan masuk Arafah, Muzdalifah dan Mina dengan baik, serta berjaya mengawal kemasukan jemaah haji yang tidak mempunyai permit bagi memastikan pergerakan jemaah haji yang rasmi lancar,” katanya.

Menyentuh ibadah melontar di ketiga-tiga jamrah, Syed Saleh berkata Tabung Haji menggalakkan jemaah haji Malaysia membuat lontaran selepas Isyak kerana cuaca lebih sejuk.

Katanya mereka akan dibawa secara berkumpulan mengikut pergerakan maktab atau KT (nombor pesawat kapalterbang sewa khas Tabung Haji) masing-masing.

Syed Saleh berkata jemaah haji Malaysia akan melontar di Tingkat Tiga yang dikhususkan untuk jemaah haji dari Asia Tenggara termasuk Indonesia, Thailand dan Singapura.

Beliau berkata perjalanan dari khemah jemaah haji Malaysia ke Jamrah yang jaraknya kira-kira tiga kilometer akan memakan masa sejam untuk perjalanan pergi dan balik.

Katanya sementara menunggu waktu untuk pergi melontar, pihak Tabung Haji mengadakan beberapa program bimbingan ibadah, termasuk persiapan untuk tawaf dan saie di Masjidilharam di Makkah, yang akan dilakukan selepas ibadah melontar selesai.

Jambatan jamrah terdiri daripada beberapa tingkat di Mina membabitkan kos SR4.2 bilion yang dibuka pada musim haji tahun lepas, boleh memuatkan sehingga 500,000 jemaah haji setiap jam.

Bagaimanapun, buat masa ini hanya boleh memuatkan 300,000 jemaah haji pada setiap jam, dan telah mempercepatkan proses ‘melontar syaitan’ itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.