Bidaan Nombor Plat Guna Duit Sendiri, Buat Laporan Jika Tidak Puas Hati – Sanjeevan

Kuala Lumpur – Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) anti-jenayah MyWatch R Sri Sanjeevan mempertahankan bidaannya terhadap dua nombor plat kereta negeri Selangor bersiri BMW yang berjumlah RM340,000.

Penegasan oleh Sanjeevan ditulis melalui laman sosialnya di Twitter dan mengakui beliau memiliki nombor pendaftaran ‘BMW8’ dan ‘BMW11’.

Tegasnya tiada siapa yang berhak untuk mengkritik beliau dalam bidaannya terhadap nombor plat tersebut kerana membelanjakan duitnya sendiri.

“Tiada sesiapa yang boleh mempersoalkan usaha gigih saya dalam mendapatkan wang tetapi sesiapa sahaja boleh mempersoalkan jika dana awam dibazirkan. Ini dua perkara yang berbeza.

“Sesiapa yang tidak berpuas hati sila laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Tambah beliau, kritikan bukan kepadanya, sepatutnya kepada penggunaan ‘wang awam yang terbuang’.

“Saya banyak mendengar kritikan sejak 48 jam lalu, namun semuanya lupa bahawa setidak-tidaknya saya menyumbang kepada kerajaan dan wang itu akan kembali kepada orang awam.

“Saya seorang rakyat yang baik kerana saya menyumbangkan pendapatan saya kepada kerajaan, tetapi bagaimana dengan mereka yang mendapatkannya dengan percuma. Itu kehilangan hasil, bukan?,” soal Sanjeevan kepada pihak yang mengkritiknya.

Semalam, portal mStar Online melaporkan Sanjeevan telah membayar wang berjumlah hampir RM340,000 untuk dua nombor plat kereta negeri Selangor BMW.

Berdasarkan gambar yang tersebar luas di laman sosial Facebook, Twitter dan aplikasi mesej segera WhatsApp, Sanjeevan membeli dua nombor plat iaitu BMW8 dan BMW11 masing-masing dengan harga RM174,776 dan RM165,000.

Menurut gambar yang tersebar itu, lima anggota pentadbiran berjaya mendapatkan nombor pendaftaran BMW1, BMW2, BMW7, BMW9 dan BMW10 secara percuma.

Gambar tersebut juga menunjukkan pembida yang berjaya bagi nombor 1 hingga 12 dengan pangkal BMW, untuk kereta yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor yang dibuka untuk tender awam dari 14 hingga 28 Ogos.

Antara pemilik plat BMW yang berjaya termasuklah jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang membayar RM97,777 untuk BMW6, Tengku Ahmad Shah (BMW3, RM132,000) dan Tengku Sulaiman Shah (BMW5, RM188,100). – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.