BH Pertahan Laporan Aliff Aziz Curi Telefon

Kuala Lumpur – Akhbar harian berbahasa Melayu Kota Singa, Berita Harian Singapura mempertahankan laporan berhubung dakwaan penyanyi, Aliff Aziz dan seorang rakannya didapati bersalah serta didenda, kerana mencuri telefon bimbit.

Berita Harian Singapura bertindak sedemikian, selepas mendapat maklum balas daripada segelintir pembaca yang mempersoalkan kesahihan laporan itu.

Semakin ramai yang mempersoalkan kesahihan artikel itu, selepas Aliff menafikan dakwaan berkenaan.

Susulan itu, akhbar berkenaan memuat naik status di laman Facebook bagi menjelaskan laporan itu dibuat berdasarkan fakta kes di mahkamah.

Status yang dimuat naik akhbar itu menimbulkan tanda tanya di kalangan masyarakat, sama ada penafian penyanyi berkenaan benar atau sebaliknya.

Pada 26 September lalu, Aliff dan rakannya, Muhammad Nurazalee Roslee dilaporkan mengaku bersalah atas dakwaan mencuri telefon bimbit serta dikenakan denda S$2,000 (RM5,083.58).

Menurut kertas pertuduhan, Aliff didakwa mencuri dua telefon bimbit, iaitu HTC One dan Samsung Note 1, yang setiap satu bernilai S$800 (RM2,033.43)

Aliff dikatakan mencuri telefon bimbit itu bersama Muhammad Nurazalee di Jalan Tanglin Halt.

Akhbar itu kemudiannya melaporkan Aliff memadamkan semua gambarnya dalam laman sosial Instagram.

Namun dalam Twitternya, penyanyi itu memuat naik status: “Selamat tengah hari dunia. Saya akan kembali tidak lama lagi. Tidak lama lagi.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.