KUALA LUMPUR -Kecenderungan untuk berpolitik 24 jam, mempertikaikan segala keputusan dan usaha, tidak akan menjamin masa depan negara kita dan masa depan anak-anak kita yang akan mewarisi negara ini dari generasi kita.
Demikian luahan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Alhamdulillah, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah dilepaskan tanpa dibebaskan daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
“Ini berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar melepas tanpa membebaskan Zahid.
“Sistem kehakiman dan perundangan Malaysia yang diamalkan hari ini telah wujud sejak Merdeka, dan adalah sejajar dengan sistem yang diguna pakai di negara-negara Komanwel. Dalam sistem ini, pihak pendakwaraya mempunyai kuasa untuk memulakan atau menghentikan pertuduhan.
“Menghormati keputusan tersebut adalah penting dalam mengekalkan integriti dan kredibiliti sistem kehakiman negara. Malah, ini mencerminkan komitmen Kerajaan terhadap prinsip pengasingan kuasa antara Parlimen, Eksekutif, dan Badan Kehakiman, serta keyakinan bahawa setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan fakta yang kukuh,” kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.
Bagi UMNO jelas Tengku Zafrul, ini peluang yang sangat baik untuk terus memandang ke hadapan sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, dan terus fokus meningkatkan ekonomi negara dan kemakmuran rakyat.
“Alhamdulillah, Malaysia semakin dilamar pelabur, sama ada dari luar mahupun dalam negara, dan ini mencerminkan keyakinan berdasarkan kestabilan politik negara.
“Ketika ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan saya sendiri selaku Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri sedang berada di Jakarta dalam misi menambahkan lagi pelaburan dan kegiatan ekonomi di Malaysia dalam kerangka kerjasama ASEAN.
“Kecenderungan untuk berpolitik 24 jam, mempertikaikan segala keputusan dan usaha, tidak akan menjamin masa depan negara kita dan masa depan anak-anak kita yang akan mewarisi negara ini dari generasi kita,” ujar beliau.