Laman Perajurit Jawab Persoalan Kenapa Komando Berlatih Guna Peluru Hidup

PEMERGIAN Pegawai Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas Mejar Mohd Zahir Armaya yang juga anak kepada pelakon komedi popular A R Badul yang maut ketika melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi di Kota Kinabalu, Sabah mengejutkan ramai pihak.

Mohd Zahir yang memainkan peranan sebagai ‘ketua kumpulan pengganas’ dalam demonstrasi itu rebah dan tidak bangun semula selepas tembakan balas yang dilepaskan kepadanya didakwa tersasar dan terkena belakang badan allahyarham.

Rata-rata mempertikaikan penggunaan peluru hidup dalam acara demonstrasi itu.

Namun satu posting di Facebook yang menggunakan akaun Perajurit – Penjana Pemikiran Pertahanan menjelaskan situasi yang menimpa Mohd Zahir, sekali gus menjawab persoalan orang ramai ‘mengapa tidak gunakan saja peluru kapur?’.

Menurut posting itu, persembahan menggunakan peluru hidup bukan untuk demonstrasi sahaja tetapi turut digunakan dalam latihan sebenar yang dilaksanakan secara rutin dalam kem latihan komando.

“Anggota komando pegang plat sasaran, kemudian anggota lain menembak plat tersebut di tangan menggunakan peluru hidup. Ini bukanlah satu persembahan yang dibuat untuk demostrasi sahaja.

“Tetapi sebenarnya adalah latihan sebenar yang dilaksanakan secara rutin di dalam kem latihan komando. Sesekali mereka buat demostrasi tersebut untuk orang awam mengetahui kemampuan mereka,” katanya.

Jelas posting itu lagi, latihan itu adalah standard paling tinggi dalam komando di mana-mana pelusuk dunia.

“Sebab ia adalah penting untuk membentuk tahap keyakinan yang tinggi anggota dalam berhadapan situasi sebenar, peluru sebenar dan nyawa sebenar.

“Hanya anggota komando sahaja menerima latihan begini, bukan untuk anggota biasa yang lain. Dan mereka berlatih menembak piring sasaran sehingga 100 peratus tanpa tersasar.

“Kemudian barulah ujian tembakan bahaya menggunakan sasaran hidup dibenarkan. Tiada sedikit pun kesilapan dibenarkan, sebab jika ia berlaku nyawa adalah akibatnya. Inilah yang berlaku kepada Allahyarham Mej Zahir hari ini,” katanya.

Tambah posting itu lagi, biarpun anggota memakai baju kalis peluru ia tidak dapat menjamin keselamatan nyawa 100 peratus.

“Jaket kalis peluru hanya melindungi kira-kira 35% anggota badan sahaja, iaitu di organ krtikal tengah anggota badan. Manakala 65% bahagian lain adalah titik buta yang masih mampu membunuh.

“Hanya tersasar 1 inchi sekalipun, nyawa adalah taruhannya. Itulah hakikatnya pengorbanan anggota tentera, nyawa mereka adalah taruhan sebenar bukan sahaja di padang perang, tetapi juga ketika latihan,” katanya.

Dalam pada itu, Facebook tersebut turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan video dan gambar Allahyarham.

“Menjaga aib mayat adalah wajib bagi umat Islam, dan jatuh hukum berdosa sekiranya dilakukan dengan sengaja.

“Barang siapa yang menutup (aib atau cacat) seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” Hadis Riwayat Muslim,” tulisnya.

Allahyarham dibawa ke tepi padang sebelum persembahan ditamatkan namun dia didapati tidak sedarkan diri.

Mangsa yang cedera kemudian diberi rawatan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.20 pagi Rabu. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.