Rakyat Malaysia Di Jepun Kongsi Pengalaman Menakutkan Dibadai Taufan Jebi

KUALA LUMPUR – “Dinding rumah bergegar kuat dan pintu gelongsor hampir tercabut. Anak-anak saya berpelukan dan menangis ketakutan,” kata rakyat Malaysia, Rosmarlina Binti Abd Ganiumur, 36, yang berdepan bencana taufan Jebi.

Dia yang menetap di Osaka, Jepun, mendakwa angin mula bertiup kencang disusuli hujan lebat luar biasa sekitar jam 1.50 petang semalam.

“Ketika itu saya menyedari taufan yang paling kuat membadai Jepun dalam tempoh 25 tahun mula menghampiri kami.

“Tiba-tiba anak saya, Musfirah Damia Yusop, 12, memberitahu alat pendingin hawa di biliknya tercabut dan terjatuh. Susulan itu angin kuat memasuki rumah melalui lubang pendingin hawa sebelum menerbangkan objek ringan di dalam kediaman kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia memaklumkan, alat pendingin hawa di bilik seorang lagi anaknya, Dhiyauddin Wazhif, lapan tahun, turut tertanggal dan jatuh tidak lama kemudian.

“Akibatnya terdapat dua lubang pada kediaman kami. Angin taufan menderu masuk ke dalam rumah menyebabkan barangan di dalam rumah berterbangan. Keadaan menjadi kucar kacir ketika itu.

“Bunyi taufan Jebi yang menderu itu amat mengerikan dan sukar digambarkan. Saya amat panik dan segera mengarahkan Damia membawa adik-adiknya termasuk Dhiyauddin Wazhif, Dhiyauddin Anas, 10, dan Musfirah Maryam tiga tahun berlindung di ruang tamu.

“Damia kemudian memeluk semua adik-adiknya di sofa dalam keadaan ketakutan,” katanya.

Menurutnya, dia pula bertindak menahan pintu gelongsor rumah yang ketika itu hampir patah akibat ribut yang berlaku.

“Ketika itu saya menangis cemas kerana tekanan udara yang terlalu kuat hingga meranapkan perkakas di dalam rumah.

Pelbagai usaha saya lakukan namun angin kencang tetap memasuki kediaman.

“Saya rasa tangan seperti hampir patah ketika cuba menahan tekanan angin kuat yang memukul pintu gelongsor itu. Saya hanya mampu berdoa supaya ribut itu reda seketika,” katanya yang tinggal di Osaka sejak tujuh tahun lalu.

Sebaik taufan reda, dia segera mengemas rumah dan bilik tidur anak-anaknya.

“Suami, Yusop Aliumur, 42, yang bertugas sebagai jurutera tidak dapat pulang ke rumah ketika tragedi berlaku berikutan semua jalan ditutup susulan taufan berkenaan,” katanya.

Walaupun menempuh saat sukar, Rosmarlina masih sempat memasak dan menghantar makanan kepada warga Malaysia yang terkandas di bandar itu susulan ribut yang berlaku.

Sementara itu seorang lagi rakyat Malaysia, Mohd Fuzayme Nordin yang berada di Fuchu, Tokyo menyifatkan taufan Jebi yang berlaku semalam amat mendebarkan.

Menurutnya, taufan yang mula melanda Jepun sejak jam 5 pagi itu menyebabkan kerosakan teruk terutama pada premis perniagaan serta perumahan selain ada juga kawasan yang dinaiki air.

”Antara kerosakan yang berlaku kesan taufan ini adalah kenderaan terbalik, tiang elektrik tumbang, bumbung rumah dan bangunan perniagaan runtuh serta kemudahan awam rosak.

“Ada juga premis perniagaan terpaksa menutup operasinya. Jadual penerbangan juga terpaksa di tangguhkan akibat taufan Jebi ini,” katanya.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) sebelum ini memaklumkan taufan berkenaan mempunyai kelajuan angin sehingga 216 kilometer sejam.

Amaran hujan lebat dan ribut kuat juga dikeluarkan di kawasan timur dan barat Jepun menasihati orang ramai berwaspada risiko berlaku banjir dan tanah runtuh.

Lebih 600 penerbangan tempatan dan antarabangsa dibatalkan. Perkhidmatan kereta api laju, Tokaido Shinkansen dan Sanyo Shinkansen turut digantung selain penutupan beberapa bahagian lebuh raya utama selain penutupan operasi taman tema Universal Studio di Osaka. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.