Kecoh! Ramai Pelanggan Dakwa Duit Simpanan ‘Lesap’ Selepas BSN Naik Taraf Perkhidmatan

PETALING JAYA – Kecoh pada pagi Rabu apabila ramai pelanggan Bank Simpanan Nasional (BSN) mendakwa mereka kehilangan wang selepas bank tersebut menaik taraf perkhidmatan sejak 31 Ogos hingga 4 September.

Bukan sedikit wang yang hilang kerana terdapat pelanggan yang mendakwa kerugian yang dialaminya mencecah lebih RM4,000.

Menurut paparan skrin yang dikongsikan oleh pengguna Facebook Zack Zai pada pagi Rabu, dia menyarankan agar pemilik akaun BSN untuk menyemak baki masing-masing kerana ramai individu mengadu kehilangan wang.

Sementara itu, pemilik akaun Facebook De’Artanz WG Rudd mendakwa duitnya benar-benar hilang dan cuma ada dua transaksi yang dipaparkan oleh bank tersebut sejak akaun dibuka pada 2012.

Antara luahan pelanggan BSN yang mendakwa wang dalam akaun mereka lesap.

“Dalam penyata mini cuma ada dua transaksi iaitu waktu buka akaun pada 2012 dan yuran penyata mini sahaja.

“Sebelum naik taraf, ada baki lagi RM1,000 dalam akaun. Tambah lagi gaji kelmarin RM3,000 lebih. Mana pergi dah?

“Baki RM0.00? Rakan-rakan semua dah masuk gaji sejak 31 Ogos lagi,” tulisnya pada ruang komen.

Dalam pada itu, seorang lagi pelanggan, Aman Hashim Jr. berkata: “Bila sudah tahu ok (perkhidmatan perbankan), semak baki sekali kena telan RM165.

“Nak naik taraf perkhidmatan pun tak kan kami semua kena tanggung?,” ujarnya.

Manakala Kelly NM pula mendakwa duit baki akaunnya hanya tinggal 19 sen, sedangkan baki minimum bagi akaun BSN adalah RM10.

Pemberitahuan tentang kerja naik taraf oleh pihak BSN. – Facebook BSN Malaysia

“Tidak mengapa lagi tolak RM10. Saya terus hilang RM890, sekali RM10 pun dia (bank) ambil.

“Tinggal 19 sen… apa cerita BSN ni?,” soal lelaki tersebut.

Susulan isu ini yang telah tular di media sosial mStar Online cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak BSN.

Buat masa ini, BSN mengakui pihak mereka telah menyedari tentang masalah berkenaan dan meminta agar semua pelanggan menunggu kenyataan rasmi daripada pihaknya untuk menjelaskan tentang situasi ini. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.