Taman Tugu Di Diletak Bawah Amanah Warisan Negara

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju meluluskan projek Taman Tugu di bawah badan amanah awam, iaitu Amanah Warisan Negara (Awan) serta meluluskan kawasan tambahan seluas 10.12 hektar, menjadikan kawasan keseluruhannya 36.83 hektar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kelulusan itu berikutan projek tersebut merupakan milik dan amanah rakyat.

Katanya, tambahan kawasan itu juga turut diletakkan di bawah Awan.

“Pengumuman saya ini menunjukkan betapa seriusnya kerajaan untuk memastikan pembangunan yang seimbang dan pesat.

“Ini adalah sebagai tambahan kepada kawasan seluas 26.71 hektar yang telah sedia diletakkan di bawah Awan. Justeru, jumlah keluasan keseluruhan Taman Tugu ini akan menjadi 36.83 hektar,” katanya sewaktu berucap dalam majlis sambutan Hari Hasanah Taman Tugu di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar; Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut menanam pokok sebagai simbolik perasmian dan menyusuri denai di kawasan sekitar Taman Tugu. – UTUSAN 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.