SPRM Akan Ambil Tindakan Ke Atas Lim Guan Eng

Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memutuskan untuk mengambil tindakan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng susulan kenyataannya berhubung penahanan exco kerajaan negeri itu, Phee Boon Poh sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan, keputusan terbabit dibuat sebulat suara oleh pengurusan tertingginya setelah Guan Eng enggan memohon maaf atas kenyataan fitnah bahawa penahanan Boon Poh sebagai `penahanan haram oleh SPRM’ walaupun telah diberi satu tempoh masa untuk berbuat demikian.

“Ingin juga ditegaskan, SPRM menghormati hak serta kebebasan mana-mana pihak untuk mengkritik tetapi tidak akan sama sekali bertolak ansur jika mereka didapati mengeluarkan kenyataan fitnah khususnya berhubung siasatan yang sedang dijalankan dengan tujuan mencemarkan serta menjejaskan imej dan reputasi SPRM.

“SPRM tidak mempunyai kepentingan dalam mana-mana siasatan dan akan menyiasat setiap kes tanpa mengambil kira jawatan, ideologi politik dan kedudukan individu yang disiasat itu,” kata kenyataan itu.

Susulan itu, SPRM akan mengemukakan keputusan yang telah dibuat kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

SPRM sebelum ini memberi tempoh 48 jam kepada Guan Eng untuk memohon maaf ekoran ke­nyataan yang dibuat itu kerana di­­­sifatkan serius dan berunsur fitnah.

Boon Poh baru-baru ini ditahan SPRM kerana mengemukakan surat permohonan kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bagi menangguhkan tindakan penguatkuasaan ke atas kilang haram di Sungai Lembu sebelum dibebaskan mahkamah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.