Nizen Ayob Akui Diri Disihir Setelah Jumpa Paku Karat Dan Gigi Dalam Kepala

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Bintang siri Gerak Khas, Nizen Ayob, 32, mengakui dirinya disihir apabila menjumpai rangka gigi manusia dan paku karat di dalam kepalanya.

Mempunyai pertalian darah dengan Allahyarhamah Seniwati Datin Umi Kalthum dan Noorkumalasari, dia memberitahu keadaan kesihatannya mulai merosot sejak beberapa bulan lalu.

“Disebabkan itu, saya membuat keputusan untuk memperlahankan kerjaya lakonan termasuklah pembabitan dalam drama Gerak Khas yang dibintangi hampir lima tahun lalu meskipun telah sebati dengan diri saya,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai kesakitan yang dialaminya, Nizen cuba berubat secara tradisi dengan seorang pengamal perubatan tradisional beberapa hari lalu dan terperanjat dengan berita yang diterimanya.

“Pakcik itu mengurut-urut dahi saya dengan tangannya secara perlahan-lahan menggunakan sejenis minyak sehingga terhasil kesan seperti sedang menjalani pembedahan kecil lalu dia mengeluarkan rangka gigi manusia dan paku karat.

“Memang terkejut walaupun terasa sakit semasa dia melakukan ‘pembedahan’ berkenaan terutama apabila dua objek itu mahu dikeluarkan. Malah kesan luka masih kelihatan sehingga hari ini,” katanya.

Menurut pelakon yang mula dikenali menerusi drama Istikharah Cinta itu, itu adalah kejadian kedua pernah dilaluinya dan kali ini paling teruk.

Ditanya puncanya, dia sendiri tidak tahu namun sedar setiap hamba-Nya pasti ada kekhilafan termasuk dirinya sehingga ada pihak yang tidak berpuas hati.

Bagaimanapun Nizen bersyukur kesihatannya kembali pulih dan berdoa agar pengamal ilmu hitam berkenaan segera bertaubat.-UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.