Neelofa, Mogul Seni Dan Fesyen

Melangkah maju menerjah dalam industri seni kira-kira enam tahun lalu, Noor Neelofa Mohd. Noor mendepani pelbagai onak liku yang sukar untuk dipatri dengan kata-kata.

Ya, dilihat lancar dengan mata kasar. Namun dia sendiri mengakui, cabaran yang perlu ditongkah bukan semudah mematahkan sebatang pensil. Pelbagai cerita fitnah harus ditepis, pelbagai kecaman dan kata-kata nista harus ditelan.

 

Bersua bicara dengan wanita besi ini, setiap butir kata dibingkaikan dengan penuh bersungguh. Bukan mudah untuk bertukar madah apatah lagi, berkongsi rasa dan cerita dengan pengacara MeleTop ini.

Apatah lagi, dia merupakan antara 300 individu yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017 baru-baru ini membuktikan kehadirannya dalam dunia seni bukan sekadar mencari populariti.

Baru sahaja pulang daripada menghadiri program persidangan belia anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Amerika Syarikat (AS) bulan lepas, dia sekali lagi bakal terbang ke negara Uncle Sam sebagai salah seorang ahli panel di pentas persidangan utama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), September ini.

Anak Malaysia mana yang tidak berasa bangga melihat kejayaan demi kejayaan yang diukir kemas oleh wanita cantik molek ini. Kekuatan dan ketabahan permata seni berusia 28 tahun ini seharusnya dipandang tinggi.

Bukan hanya berjaya mengukir nama di pentas tempatan namun dia sudah membuka mata dunia luar dengan berbekalkan keperibadian yang tinggi dan jiwa muda yang sentiasa mahu mempelajari sesuatu.

Pastinya perasaan bangga membenih di jiwa wanita cekal ini. Pada saat namanya mengukir cerita indah dalam dunia seni, dia juga berjaya membuktikan kredibilitinya di persada dunia.

“Saya bersyukur dan pada masa yang sama, terharu atas peluang yang tidak akan sesekali saya lepaskan. Saya akan gunakan dengan kesempatan ini untuk menyampaikan misi dan suara anak-anak Malaysia.

“Ini adalah pentas yang mungkin hadir sekali seumur hidup sahaja. Sudah tentu misi saya adalah untuk memastikan kita semua, khususnya anak muda Malaysia didengari di persada dunia.

“Saya bakal menyampaikan idea yang merujuk kepada tajuk Kepelbagaian Budaya dan Kuasa Dunia Kreatif. Diharap dengan detik keemasan yang diberikan itu nanti, saya dapat mengharumkan nama negara,” kata anak kelahiran Kelantan ini.

Diaju pertanyaan, apa yang menjadi kekuatan saat berdepan cabaran, Neelofa tenang merasakan jenama Naelofar Hijab sendiri yang menjadi dahan untuk dia bertahan. Akar semangat untuk jenamanya bertahan kekal utuh.

Dia berjaya berdiri atas keringatnya sendiri. Setiap langkah diiringi doa supaya kejayaan yang ditempa adalah berkat usahanya. Dia menjual jenama dirinya menerusi kejayaan dalam dunia seni dan perniagaannya.

Aura jenama tudung yang mula meneroka pasaran tempatan tiga tahun lalu ini tidak dapat disangkal lagi. Di sudut hati Malaysia sendiri, Naelofar Hijab mempunyai tempat tersendiri.

Masih berkisar bicara sama, perbualan kami terarah persoalan apakah pengorbanan yang terpaksa pelakon filem Pilot Cafe ini rentangi demi memastikan perniagaannya, Naelofar Hijab berdiri teguh.

Seraya tersenyum, perlahan dia menguntai satu persatu cerita tentang bagaimana seorang anak seni ‘melupakan’ sebentar dunia lakonan demi kelangsungan jenama tudung unggulnya.

“Dahulu saya pernah ‘mengorbankan’ minat saya terhadap rekaan kasut demi kerjaya seni yang ketika itu baru bermula. Perlahan-lahan saya menempa nama sehingga diri yakin untuk kembali berniaga.

“Selepas itu, tiga tahun saya ‘menyepi’ dalam dunia lakonan untuk membina empayar Naelofar Hijab ini. Banyak orang tidak faham dan beri seribu satu alasan. Segala-galanya tampak mudah namun hanya yang menjalaninya tahu kesukarannya.

“Kalau kita hendak buat sesuatu yang besar, percayalah pengorbanannya juga besar. Kita harus melepaskan sesuatu untuk mencapai sesuatu. Berani mengambil risiko dan yakin dengan kemampuan diri,” katanya. – Gambar IHSAN NAELOFAR HIJAB

Doa peminat teras kekuatan

Dunia seni bagaikan kawah berapi yang bila-bila sahaja tersembur keluar larva panas merencatkan perjalanan. Dengan panahan kontroversi dan cerita sensasi, Neelofa kalis mengatasi.

Yang menjadi kekuatan adalah gema sorakan dan sokongan peminat yang tidak pernah lelah mengungkap rasa cinta terhadap artis kesayangan. Tanpa mereka yang membajai hati dengan cinta, sukar untuk kaki melangkah melukis kanvas seni.

“Ya, peminat adalah kaki yang melancarkan pendakian ke puncak kejayaan. Peminat berkualiti memberi impak besar terhadap seseorang artis. Nasihat saya, jika kita jumpa peminat berkualiti, jangan lepaskan mereka. Itu harta paling berharga.

“Saya cukup terharu dan tersentuh dengan sokongan tidak berbelah bahagi mereka. Tatkala saya diawani kontroversi, mereka adalah cahaya yang menyuluh kekuatan. Itu yang membuatkan saya bertahan dan tabah mendepani cabaran.” kata insan seni yang mempunyai lima juta pengikut di laman sosial Instagramnya.

Alang-alang berbicara soal peminat, gelora teka-teki lantas menari di benak fikiran. Apakah anak ketiga daripada lapan beradik ini sanggup mengorbankan kerjaya seninya demi cinta sejati?

Acap kali disoal tentang cinta dan jodoh, apakah tiada istilah penat dalam diari pelakon ini menjawab satu persatu persoalan yang merajai minda peminat dan rakan media.

“Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir sehingga ke tahap itu lagi. Biarlah Tuhan yang menentukan kerana Dia tahu yang terbaik. Peminat mahukan yang terbaik untuk saya. Setiap doa dan harapan mereka menjadikan saya kuat.

“Populariti dan peminat adalah rezeki daripada Allah. Saya percaya jika kita bersyukur dengan setiap nikmat kurniaan Tuhan, rezeki itu tidak akan putus. Kita seharusnya menghargai perjalanan ini.

“Ini adalah sebentuk hadiah Illahi yang dibingkaikan dengan cukup indah,” tutur gadis cantik yang jelas dari relung matanya menyanyi dan mencintai peminat sejatinya.

Suatu jihad kecil

Sering kali singgah di benak wanita kecil molek ini, siapa sangka daripada hanya sebuah impian kecil kini terbina sebuah empayar yang mewangi membungai taman. Dia sendiri tidak percaya dengan satu persatu kejayaan yang diukir indah.

“Satu perjalanan yang produktif. Banyak ilmu ditimba berlantaikan pahit manis dunia perniagaan. Saya sendiri tidak menyangka, Tuhan akan membuka pintu rezeki dengan Naelofar Hijab ini. Saya bermula dengan hanya bermimpi dan memasang impian.

“Cabaran kritikal adalah mewujudkan satu sistem yang terbaik dan efisien. Kami bukan bermula besar. Kita cuba, gagal dan cuba lagi. Pemahaman dan ilmu perniagaan merupakan aset berharga yang memenuhi dada sekarang.

“Memang sukar untuk memenuhi cita rasa pengguna. Tudung kita tidak boleh ‘eksperimen’ sangat. Tidak boleh terlalu unik dan tidak boleh juga terlalu biasa. Itu cabaran yang harus kami depani saban hari,” ujarnya.

Menutup bicara tentang Naelofar Hijab, jutawan muda ini menganggap jenama yang menjadi permata hatinya itu adalah jihad kecil dalam menyebar luas dakwah Islam.

Bukan mahu digelar ustazah atau ahli ulama, Neelofa mahu terus menjadi inspirasi kepada wanita muda dalam mencorak ekonomi dan jati diri.

Mengakui status sebagai selebriti banyak membantu namun itu cuma untuk jangka masa pendek. Untuk bertahan, dia memerlukan kepakaran sebagai seorang peniaga yang bijak mengemudi bahtera jenamanya untuk mengelilingi dunia

“Ada peminat yang datang jumpa saya beritahu, mereka mula memakai tudung selepas melihat saya bertudung. Allah menggerakkan hati mereka untuk menutup aurat, bukan kerana saya tetapi kerana keindahan bertudung itu sendiri. Saya cuma pengantara yang juga hamba kepada-Nya,” katanya.Utusan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.