Min Aung Hlaing, Dalang Kepada Kekejaman Rohingya

Ketika dunia mengecam kekejaman yang berlaku ke atas etnik Rohingya, pemimpin politik Myanmar, Aung San Suu Kyi pula membisukan diri. Beliau langsung tidak memberikan sebarang komen sejak konflik terbaru meletus pada 25 Ogos lalu.

Disebabkan keganasan itu juga, hampir 90,000 Rohingya kini membanjiri Bangladesh dalam masa 10 hari selepas tercetusnya konflik terbaru di wilayah Rakhine.

Selama ini pun, etnik Rohingya telah dipaksa hidup seperti rejim apartheid di mana pergerakan dan taraf kewarganegaraan mereka begitu ketat.

Mujurlah negara-negara seperti Malaysia di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak begitu prihatin dengan nasib pelarian Rohingya ini.

Begitu juga dengan Indonesia yang turut menyuarakan bantahan terhadap kekejaman itu. Manakala kerajaan Maldives pula pada Isnin mengumumkan memutuskan semua hubungan perdagangan dengan kerajaan Myanmar sehinggalah negara itu mengambil tindakan untuk mencegah keganasan terhadap Rohingya.

Selain Suu Kyi, ada individu lain yang menjadi dalang kepada kekejaman ini iaitu panglima Angkatan Bersenjata Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing. Hlaing selama ini dianggap menghalangi reformasi perlembagaan Myanmar untuk menjadi lebih demokrasi.

Hlaing mendakwa pasukan tenteranya hanya bertugas untuk menjaga perbatasan Myanmar dan mencegah pemberontak Rohingya daripada merebut wilayah Rakhine.

Namun sebenarnya Hlaing sebenarnya terlibat dalam pembersihan etnik. Malah satu pertubuhan bukan kerajaan, Burma Campaign UK telah menggesa masyarakat dunia memberikan tekanan kepada Hlaing supaya menghentikan serangan ke atas orang awam Rohingya.

“Hanya seorang sahaja yang boleh mengarahkan tentera berhenti daripada membunuh orang awam Rohingya dan berhenti membakar kampung penduduk Rohingya. Orang itu adalah Min Aung Hlaing,” kata pengarah Burma Campaign UK, Mark Farmaner.

Sejak serangan sekumpulan pejuang Tentera Keselamatan Arakan Rohingya (ARSA) yang bertempur dengan tentera dan polis Myanmar pada 25 Ogos lalu, pasukan tentera Myanmar telah menyerang balas dengan mensasarkan penduduk awam Rohingya. Hampir 400 orang menjadi korban.

Oleh itu kata Farmaner, masyarakat antarabangsa perlu memberikan tekanan kepada Hlaing, untuk memberikan desakan secara peribadi kerana melakukan tindakan yang memalukan itu.

Hlaing harus dipertanggungjawab terhadap kekejaman itu, bukan dijulang namanya kerana dia selama ini diberikan layanan istimewa oleh dunia.

Malah dalam lawatan ke India dan Jepun baru-baru ini, Farmaner berkata Hlaing diberikan layanan karpet merah meskipun kepimpinan Hlaing dalam Angkatan tentera Myanmar kini dalam siasatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana kemungkinan berlaku jenayah perang dan perlanggaran hak asasi manusia.

Tiada cara mudah untuk mendesak Hlaing menghentikan serangan ini namun apa juga tekanan yang boleh diberikan kepadanya, sepatutnya dilakukan.

“Eropah dan negara lain perlu melihat Hlaing sebagai penjenayah. Min Aung Hlaing adalah penghalang terbesar untuk memperbaiki hak asasi manusia dan pembaharuan demokrasi di Myanmar,” kata Farmaner.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.