Malaysia Bebas El Nino Dan La Nina Tahun Ini

PUTRAJAYA – Malaysia dijangka bebas fenomena El Nino dan La Nina tahun ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata bacaan suhu permukaan Lautan Pasifik pada julat normal iaitu kira-kira 0.5 darjah celsius menunjukkan tiada tanda-tanda fenomena El Nino iaitu cuaca panas melampau dan La Nina yang akan membawa hujan lebat luar biasa akan berlaku, lapor Bernama.

Katanya berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negara dijangka menerima jumlah hujan yang normal bagi tempoh September dan Oktober tahun ini selain tiada suhu panas luar biasa serta tiada kemarau dan jerebu teruk dijangka berlaku.

“Ramalan MetMalaysia amat tepat sejak tahun lepas sehingga kini. Saya yakin dengan ramalan ini, insya-Allah, negara kita tidak mengalami kesan-kesan fenomena El Nina dan La Nina yang teruk pada tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bilangan 2 Tahun 2017.

Wan Junaidi berkata mesyuarat itu bersetuju pemantauan rapi ke atas kawasan-kawasan tanah gambut yang sering terbakar dilakukan melalui pengaktifan Prosedur Tetap Operasi Program Pencegahan Kebakaran dan Pengurusan Tanah Gambut Sering Terbakar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.