Madonna Pilih Portugal

Pada usia 57 tahun, bintang tersohor Amerika Syarikat, Madonna masih aktif menyanyi dan beraksi di pentas.

Malah, demi mencari ilham baru untuk berkarya, penyanyi dengan jolokan Ratu Pop itu mengumumkan sudah berpindah ke Portugal menerusi Instagram, Sabtu lalu.

Dalam statusnya, penyanyi 4 Minutes itu turut memaklumkan dia akan sibuk dengan pembikinan muzik serta filem baru berjudul Loved.

“Suasana di Portugal penuh dengan inspirasi. Saya jadi lebih kreatif dan bertenaga di sini, malah tidak sabar memulakan pembikinan filem Loved serta muzik baru.

“Ini akan menjadi lembaran baru dalam diari seni saya. Sudah tiba masanya saya menakluk dunia dari sudut berbeza!” tulisnya.

Jurucakap Madonna memberitahu Associated Press, penyanyi itu jatuh cinta dengan Portugal ketika menamatkan konsert jelajah Eropah di negara berkenaan pada 2004.

Pemenang anugerah Grammy sebanyak tujuh kali itu berasal dari Michigan, Amerika Syarikat dan beberapa tahun menetap di New York.

Menurut majalah Us Weekly, Loved menjadi karya keempat arahan Madonna selepas filem pendek Secret Project Revolution pada 2013.

Projek muzik terbaru pula dihasilkan selepas dua tahun penyanyi terbabit memperkenalkan album studio ke-13, Rebel Heart kepada peminatnya.

Selepas menamatkan jelajah konsert dunia pada Mac tahun lalu, ibu kepada enam anak itu kembali menumpukan perhatian terhadap keluarganya.

Februari lalu, dia mengambil sepasang kembar perempuan dari Malawi, Esther dan Stella yang berusia empat tahun sebagai anak angkat.

Penyanyi itu sudahpun mempunyai dua anak kandung, Lourdes, 20, dan Rocco, 17. Dia juga ada dua lagi anak angkat bernama David, 11, dan Mercy, 9, yang juga berasal dari Malawi.

Majalah Forbes mengumumkan Madonna antara pemuzik paling kaya bagi 2016 kerana memperoleh pendapatan mencecah RM324.56 juta sepanjang tahun itu.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.