Ibu Latih Elfira Jadi Isteri Mithali

KUALA LUMPUR: Sebagai persediaan menjadi isteri kepada penyanyi Sufian Suhaimi, ibu Elfira Loy mula melatih pelakon itu berkaitan cara menguruskan rumah tangga dengan baik.

Elfira, 23, memberitahu, selepas solat Subuh, dia tidak dibenarkan menyambung tidur, sebaliknya perlu membuat kerja rumah.

“Ibu mahu saya menjadi isteri terbaik buat Suhaimi. Ibu sudah melatih saya buat macam-macam benda.

“Bermula selepas solat Subuh, saya perlu mengemas setiap ruang dan sudut di rumah biarpun tampak bersih. Saya juga perlu memasak untuk keluarga,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Sufian mengumumkan dia dan Elfira akan bertunang pada 6 Oktober depan.

Tambah Elfira, latihan dibuat bukan kerana dia tidak tahu membuat kerja rumah atau memasak, sebaliknya, ibu mahu ia dijadikan rutin harian.

Ditanya mengenai keistimewaan Sufian sehingga membuatkan dia jatuh hati pada penyanyi itu, Elfira berkata, Sufian dilihat serius dalam menjalin hubungan.

Apatah lagi Sufian menghantar rombongan merisik bagi menunjukkan dirinya benar-benar serius mahu menyunting Elfira sebagai isteri.

“Sebelum ini, apabila berkenalan dengan lelaki, saya beri tempoh tiga bulan, adakah saya serasi dengan lelaki itu. Atau adakah lelaki terbabit bersungguh-sungguh dengan saya.

“Apabila berkenalan dengan Sufian, saya beritahu dia mengenai perkara ini. Tidak lama selepas itu, Sufian menghantar rombongan merisik. Daripada situ saya dapat melihat kesungguhan dan keikhlasan hatinya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Elfira bakal kembali ke lokasi penggambaran, bulan depan bagi menjayakan sebuah drama.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.