Elak Tipu Undi, Ahli DAP Gesa Nama Perwakilan Parti Disiar Dalam Akhbar

BUTTERWORTH – Ahli perwakilan DAP yang layak mengundi dalam pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu mahu senarai penuh nama yang layak mengundi berserta nombor kad pengenalan mereka disiarkan dalam akhbar pelbagai bahasa.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Bagan Luar, G. Asoghan berkata langkah itu untuk memastikan pemilihan semula yang dijangka pada 1 Oktober dijalankan dengan telus menggunakan senarai 2,576 ahli perwakilan yang digunakan pada pemilihan 15 Disember 2012 supaya kesahihan pemilihan semula itu tidak lagi dipertikai.

“Kami tidak mahu sebarang unsur penipuan, pemalsuan dan taktik licik yang boleh mencemar proses pemilihan semula yang bakal diadakan. Langkah ini penting untuk mempertahankan maruah parti. Kami mahu proses pemilihan semula bersih, telus dan adil,” katanya pada sidang media hari ini.

Pada 21 Julai lepas, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok berkata parti itu akur dengan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) supaya mengadakan semula pemilihan CEC dan menggunakan senarai 2,576 ahlu perwakilan itu serta melantik juruaudit bebas memantau dan mengendalikan pemilihan semula berkenaan.

DAP juga difahamkan melantik sebuah firma audit bebas PKF Consulting untuk mengadakan pemilihan semula itu.
Asoghan berkata DAP perlu menyiarkan nama firma audit yang dilantik untuk memantau proses pemilihan semula parti berkenaan dalam akhbar.

“Kami bantah sekerasnya sekiranya firma ada hubung kait dengan pimpinan tertentu DAP seperti PKF dan KPMG terpilih. Kami mahu pemilihan semula diadakan tanpa sebarang keraguan munasabah,” katanya.

Beliau turut meminta pemerhati tidak dibenarkan masuk semasa pemilihan semula itu berlangsung dan pengiraan undi dilakukan di hadapan ahli perwakilan. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.