Dituduh Riak, Nabil Terkilan

KUALA LUMPUR – Perkongsian mengenai kisah kejayaan pelawak, Nabil Ahmad yang tular di Internet minggu lalu memberi pelbagai reaksi daripada pengguna laman sesawang.

Niat baiknya yang hanya sekadar mahu berkongsi kuasa bersedekah sehingga mampu mengubah kehidupannya yang sehingga kini berjaya meraih pendapatan berjumlah RM50,000 sebulan.

 

Namun, niat asalnya itu disalah tafsir hingga dituduh riak dan sengaja mahu menunjukkan kemewahannya.

Nabil atau nama penuhnya Ahmad Nabil Ahmad akui agak sedikit terkilan apabila netizen mempertikaikan apa yang dikongsikan di dalam video tersebut.

“Saya cuma nak berkongsi macam mana orang tiada pendidikan seperti saya ini boleh berjaya dan salah satu caranya dengan sedekah.

“Saya tak marah bila netizen kata riak sebab nanti akan timbul tak ikhlas pula.

“Tak pasti kenapa mereka ini nak lemparkan komen negatif pada saya walhal video itu kisah yang baik,” katanya ketika dihubungi UTUSAN ONLINE.

Video berdurasi 16.21 saat itu dirakamkan ketika dia menghadiri satu program mengimarahkan masjid, tiga tahun lalu.

Bagaimana pun, jelas Nabil lagi, ada juga pihak yang dapat menerima dan memahami mesej perkongsiannya itu tanpa menghakimi soal pendapatan yang diraihnya.

“Mungkin lepas mereka lihat video itu terus ada rasa nak bersedekah pada orang yang memerlukan.

“Kuasa sedekah itu sangat besar maknanya dan ganjaran yang Tuhan janjikan pun amat luas,” ulasnya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.