Alif Elak Minuman Sejuk

Sejak menjadi penggemar minuman AliCafe, pelakon, penyanyi dan pengacara popular, Alif Satar kurang mengambil minuman berais, sebaliknya lebih memilih minuman panas berasaskan minuman kopi bertenaga itu.

Menurut Alif, selepas dipilih menjadi duta jenama AliCafe, dia dan isteri akan memulakan hari mereka dengan minuman itu setiap pagi.

“Saya sememangnya penggemar minuman kopi sejak dulu lagi.

Selepas mengenali jenama AliCafe beberapa tahun lalu, minuman ini menjadi pilihan saya setiap hari.

“Minuman AliCafe sangat berbeza dengan minuman kopi lain kerana selain rasa yang enak, ia juga kurang manis dan mempunyai rasa tersendiri,” katanya ketika ditemui pada siri jelajah Kempen Power Root ‘Tunaikan Hasrat Umrah’ di sini, semalam.

Dalam pada itu, Alif bersyukur apabila Power Root mempercayai bakat yang dimiliki untuk membawa nama jenama itu dengan melantiknya sebagai duta bagi jenama AliCafe.

Katanya, kerjasama itu bermula sekitar Mac lalu selepas dia mengacarakan program realiti Rockanova bersama pelawak Sherry Alhadad di saluran Astro yang ditaja AliCafe.

Beralih kepada perkembangan kariernya, menurut Alif, di samping sibuk mengacarakan program Clever Girl, dia juga sibuk dengan pengambaraan drama baru berjudul iaitu ‘Red Velvet’.

Katanya, drama yang bakal ditayangkan pada November ini di saluran Astro itu bakal bergandingan dengan pelakon terkenal, Neelofa.

“Drama ini sangat saya tunggu kerana sebenarnya pengambarannya sudah bermula pada Disember lalu namun terpaksa dihenti seketika kerana kesibukan barisan pelakon lain.

“Menariknya, drama ini akan menampilkan perwatakan diri saya yang berbeza iaitu perwatakan lebih kasar berbanding perwatakan lembut dan sering bermain dengan kata-kata manis dalam beberapa drama sebelum ini,” katanya.

Alif berkata, dia juga sibuk mempromosikan single terbarunya berjudul ‘Jatuh Cinta’ yang menjadi lagu runut filem (OST) filem ‘Kau Yang Satu’ lakonan Aaron Aziz dan Izara Aishah.

Selain itu, dia bakal merakamkan single baru yang dihasilkan penyanyi popular Faizal Tahir yang dijangka siap pertengahan Oktober ini.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Power Root Marketing Sdn Bhd, Sharon Teh berkata, kempen ‘Tunaikan Hasrat Umrah’ yang diadakan itu untuk mempromosikan peraduan memenangi pakej umrah Power Root bernilai RM360,000 bermula 1 Mei lalu sehingga 1 Oktober ini.

Katanya, pemenang akan dipilih setiap minggu dan seramai 36 pemenang akan dibawa me­ngerjakan umrah bersama pasangan masing-masing pada Disember ini di bawah pakej Tabung Haji Travel and Services bernilai lebih daripada RM10,000.

“Peraduan ini adalah projek Power Root untuk menyumbang semula kepada masyarakat dan pelanggan kami yang beragama Islam sebahagiannya mungkin tidak mampu untuk menunaikan Umrah.

“Jadi, kami mengajak mereka tidak melepaskan peluang dengan mendapatkan produk Power Root sebelum peraduan berakhir,” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.