Viral Pertemuan Mahathir & Anwar Di Mahkamah

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membuat kejutan apabila hadir di Mahkamah Tinggi Jalan Duta tanda sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas timbalannya yang dipecat atas tuduhan meliwat 18 tahun lalu.

 

Anwar hadir di mahkamah hari ini untuk mendengar perbicaraan kes beliau menentang Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang didakwa berlawanan dengan perlembagaan negara.

 

Tun Mahathir dan Anwar dilihat bersalaman dan bertegur sapa ketika sidang mahkamah berhenti rehat sambil diperhatikan hadirin yang hadir.

 

Gambar pertemuan kedua-dua seteru politik itu kini viral di laman sosial dan mengundang pelbagai reaksi di kalangan warga internet.

 

Pada September 1998, Tun Mahathir memecat Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri atas dakwaan terlibat aktiviti liwat dengan Azizan Abu Bakar (bekas pemndu peribadi Wan Azizah Wan Ismail) dan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja (adik angkat Anwar).

 

Serentak pemecatan tersebut, Tun Mahathir turut mempengaruhi Majlis Tertinggi UMNO untuk memecat keahlian Anwar menyebabkannya dilucutkan dari jawatan Timbalan Presiden UMNO.

 

Sebagai tindakbalas, Anwar mula melancarkan gerakan reformasi untuk menumbangkan pemerintahan Tun Mahathir dan UMNO sebelum beliau kemudiannya ditangkap di bawah tahanan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA).

 

Selepas itu isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan sokongan parti pembangkang seperti DAP, PAS dan PRM membentuk NGO Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) untuk menyemarakkan gerakan reformasi.

 

Parti Keadilan Nasional (KeADILan) ditubuhkan 4 April selepas mengambil alih parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia.

 

Pada Ogos 2003 KeADILan ditukar menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) susulan penggabungannya dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

 

Anwar yang kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, baru-baru ini memberi amaran kepada pemimpin PKR supaya berhati-hati dengan gerakan politik Tun Mahathir yang dilihat mencurigakan.

 

Tun Mahathir kini adalah Pengerusi penaja Parti Pribumi Bersatu Malayasia (BERSATU) selepas bertindak keluar dari UMNO awal tahun ini, sekarang sedang giat mengerakkan kempen untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Penganalisis melihat pertemuan Tun Mahathir dengan Anwar hari ini dipercayai sebagai usaha terbarunya untuk memberi tekanan terhadap Najib. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.