Taman Tugu Jadikan KL Bandar Raya Bertaraf Dunia

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bandar raya Kuala Lumpur perlu dilengkapi kemudahan taman riadah untuk muncul sebagai sebuah bandar bertaraf dunia.

 
Beliau berkata, ia merupakan ciri utama sebuah bandar global seperti di London yang memiliki Hyde Park manakala Central Park pula sinonim dengan New York.

 
Oleh itu, kata beliau, pembangunan projek Taman Tugu bakal melengkapkan ciri itu apabila ia siap kelak dengan menghidupkan taman rimba tropika di tengah-tengah bandar raya.

 
“Kita harus menjadikan Kuala Lumpur sentiasa ‘hidup’ bukan sahaja untuk pertumbuhan ekonomi tetapi sebuah bandar kelas dunia dan kita sedang berjuang ke arah itu.

 
“Salah satu daripada ciri bandar raya bertaraf global bahawa masyarakat menuntut kemudahan riadah seperti Hyde Park yang sinonim dengan London dan Central Park sinonim dengan New York. Maka Taman Tugu akan sinonim dengan bandar raya Kuala Lumpur bertaraf global.

 
“Itu bukan mustahil kerana kita sudah ada gambaran dan apabila siap fasa pertama pada pertengahan tahun 2018, kita akan lihat bahawa kawasan ini untuk rakyat mengecapi kemudahan di taman ini yang akan berubah menjadi taman tropika rimba di tengah-tengah bandar raya,” katanya.

 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Projek Taman Tugu di sini hari ini. -Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.