Sabhi Saddi Nafi Nyanyi ‘Miming’

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Sabhi Saddi, menepis dakwaan beliau tidak berkemampuan untuk menyanyi, namun mengakui kesilapannya berdepan masalah teknikal ketika mengadakan persembahan pada sebuah acara, baru-baru ini.

 

Sabhi, 32, berkata, beliau sama sekali tidak menggunakan pendekatan menyanyi ‘miming’ sebaliknya meminta bantuan daripada penyanyi latar ketika diminta mempersembahkan lagu Anak Kampung dan Gemuruh pada majlis terbabit.

 

“Sebagai penyanyi, saya mengakui kesilapan gagal untuk menyanyikan dua lagu itu dengan baik sehingga terpaksa meminta bantuan daripada penyanyi latar.

 

Biarpun kesilapan berpunca daripada masalah teknikal, namun saya menganggap ia sebagai salah diri sendiri.

 

“Jadual kerja yang padat juga membataskan peluang saya untuk menjalani latihan beberapa kali sebelum mengadakan persembahan. Namun, apa yang penting, saya tidak ‘miming’ seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

 

“Lagu Gemuruh dan Anak Kampung memang sukar untuk dinyanyikan, malah saya juga gemuruh untuk membuat persembahan di hadapan penonton daripada golongan berprofil tinggi dan menteri,” katanya kepada BH Online.

 

Pelantun lagu Nadiku itu menegaskan, biarpun gosip sebegitu timbul, namun beliau yakin penonton yang menyaksikan persembahannya pada malam itu lebih jelas dengan perkara sebenar.

 

Sebuah akhbar tempatan menerusi ruangan gosip pada Ahad lalu menyiarkan artikel kononnya Sabhi gagal untuk membuat persembahan dengan baik dan dikatakan sudah beberapa kali ‘miming’ ketika menyanyi.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.