Projek Perumahan Baharu Diwajib Pasang Perangkap Nyamuk Solar

PETALING JAYA – Berkuat kuasa hari ini, semua projek pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu dan projek menaik taraf kawasan rekreasi diwajibkan memasang perangkap nyamuk solar.

 

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata langkah segera itu dibuat bagi mengurangkan kes demam denggi dan mencegah penularan virus zika di negara ini.

 

Katanya, kegagalan mematuhi arahan itu boleh menyebabkan syarikat perumahan terbabit didenda atau lesennya digantung.

 

“Kawasan perumahan termasuk tapak pembinaan perumahan baharu dan taman rekreasi dikenal pasti menjadi lokasi berpotensi tinggi pembiakan serangga terutama nyamuk,” katanya.

 

Beliau juga meminta kerajaan negeri terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengambil langkah pencegahan ini.

 

Terdahulu, Noh bertemu penduduk rumah pangsapuri di Taman Medan Cahaya, Taman Medan, di sini, dan mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi menaik taraf padang di kawasan perumahan milik Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB) itu serta menyelenggara kerosakan bangunan dan lif.

 

Beliau turut mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di kawasan itu bagi meneliti permasalahan penduduk, sekali gus mencari mekanisme penyelesaian tuntas menerusi usaha bersama penduduk serta agensi dan jabatan kerajaan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.