Kamal, Emma Masih Berbaik

KUALA LUMPUR – Pelakon, Kamal Adli, gembira apabila ajakannya untuk muncul bersama pada acara permaidani merah Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 malam tadi diterima oleh Emma Maembong.

 

Begitupun Kamal pada masa sama sedar, kehadiran beliau bersama Emma, 24, pada acara kemuncak FFM28 pastinya menimbulkan persoalan berikutan kedua-duanya dikatakan berselisih faham, sebelum ini.

 

Kamal atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 30, berkata beliau dan Emma masih lagi berbaik.

 

“Kami berjalan berdua di FFM28 selepas saya mengajaknya untuk ke acara itu bersama-sama. Saya bagaimanapun tidak boleh bercerita lebih lanjut lagi mengenai perhubungan kami.

 

“Apa yang saya boleh katakan, saya dan Emma masih berbaik dan doakan yang terbaik buat kami,” katanya ketika dihubungi BH Online, sebentar tadi.

 

Terdahulu, pergolakan hubungan antara dua pelakon itu mula dihidu peminat apabila kebelakangan ini masing-masing jarang memuat naik foto bersama di Instagram.

 

Keadaan itu berbeza jika dibandingkan dengan detik awal percintaan mereka, hampir dua tahun lalu. Malah, beberapa isu berkaitan termasuk gambar profil seorang daripada mereka di aplikasi WhatsApp yang melambangkan soal cinta, selain menunjukkan paparan ‘move on’, mencetuskan tanda tanya.

 

Emma pula sebelum ini meminta diberi ruang untuk berbincang mengenai hubungan mereka selain berhati-hati memberi kenyataan dengan alasan enggan menyinggung perasaan sesiapa.

 

Sementara itu, Kamal yang pernah melalui fasa putus cinta tidak mahu mengulangi proses yang sama setiap kali menjalinkan hubungan, sebaliknya ingin melihatnya berakhir di jenjang pelamin.

 

Kamal turut berkata, melihatkan lebih banyak kesilapan berpunca daripadanya, beliau cuba mengubah sikapnya kepada seorang yang lebih romantik.

 

“Apa yang terjadi sebelum ini salah saya juga. Beri kami ruang dan masa. Apa yang penting, sekarang saya belajar jadi lebih ‘sweet’. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali,” ujarnya.

 

Sementara itu, Emma atau nama penuhnya Fatimah Rohani Ismail, yang dihubungi BH Online pula berkata, perselisihan yang berlaku di antara mereka tidak begitu serius.

 

Ekoran itu, mereka masih berkawan baik dan kemunculannya bersama pelakon lelaki itu pada acara karpet merah FFM28, semalam, adalah atas permintaan Kamal.

 

“Saya dan Kamal tidak pernah bergaduh. Apa yang berlaku tidaklah terlalu serius dan saya juga enggan bercerita lebih-lebih. “Kami berjalan bersama (di FFM28) pun kerana dia (Kamal) bertanya pada saya mengenai perkara itu, dan saya OK saja,” katanya ringkas.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.