Husam Memang ‘Rare’ Boleh Tahu Fikiran Nik Aziz

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Persiden PAS yang kini menyertai Parti Amanah Negara (PAN) Datuk Husam Musa dianggap sebagai ‘rare’ atau unik kerana boleh membaca fikiran Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat yang telah meninggal dunia.

 

Bercakap menerusi laman sosial Facebook, anak bekas Mursyidul Am PAS itu, Nik Abduh Nik Aziz menyifatkan Husam sebagai anak murid Tok Guru yang ‘rare’.

 

“Masa tok guru (Nik Aziz) hidup dulu, dia ni sering bagitahu orang bahawa tok guru akan ikut saja cakap dia. Lepas tok guru meninggal pun, dia masih bagitahu orang bahawa kalau masih hidup, tok guru akan ikut dia tinggalkan PAS dan masuk parti baru. Nampaknya, sampai mati tok guru istiqamah ikut dia. Memang ‘rare’ murid tok guru ni sorang.”

 

“Siapa ‘dia’ ni?” kata Ketua Pemuda PAS itu merujuk kepada Husam.

 

Husam pada malam beliau menyertai PAN optimis telah membuat keputusan tepat dengan menyertai parti serpihan PAS itu sambil mendakwa Nik Aziz akan turut serta menyertai parti baru berkenaan ekoran PAS sudah terpesong dari perjuangan asal.

 

Turut mengulas mengenai dakwaan Husam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan urusan mengenai individu yang telah meninggal dunia hanya diketahui Tuhan bukannya manusia biasa.

 

“Yang tahu benda akan datang ini Tuhan sahaja, dia (Tok Guru) dah meninggal dunia, orang meninggal dunia ini dengan karamahnya yang terdahulu, akan datang orang lain pula. Itu kenyataan yang jahil agama,” kata Hadi.

 

Ahli Parlimen Marang itu turut menafikan tuduhan Husam bahawa semakin ramai ahli PAS menyertai PAN.

 

“Ahli PAS tetap dengan PAS. Setakat ini tiada (ikut Husam). Semua mereka yang ada masalah dengan PAS biar dia keluar daripada PAS, senang sahaja…Keluar (PAS) dan masuk parti lain. Tinggal yang tiada masalah,” katanya lagi.

 

Husam pada majlis pengumuman penyertaannya ke dalam PAN turut menuduh PAS tidak lagi mengamalkan ajaran Nik Aziz lantas ‘menghalalkan’ keahliannya bersama parti komponen Pakatan Harapan itu.

 

Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali, ajaran yang diamalkan oleh Allahyarham Nik Aziz, adalah menyeru ahlinya supaya istiqamah dan taat kepada parti.

 

“Kalau dia (Husam) ikut jejak langkah Nik Aziz, beliau seorang yang konsisten dengan sistem syura dalam jemaah dan komited dengan sistem ketua mesti diikuti dan ditaati, serta menjaga keharmonian berjemaah,” ujarnya. – Malaysian Digest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.