Galakan Perpaduan Kaum, TMJ Cadang Modul Pendidikan ‘Bangsa Johor’,

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan agar kerajaan negeri dapat membangunkan modul pendidikan yang menggalakkan perpaduan ‘Bangsa Johor’.

 

Dalam satu rakaman dialog yang dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers pada Ahad lalu, TMJ bertitah bahawa pada masa akan datang, tidak ada lagi sekolah India, Cina, Melayu di negeri Johor.

 

“Tetapi (negeri ini) akan ada sekolah Bangsa Johor. Daripada kecil mereka akan diajar macam mana untuk bersatu, menghormati agama antara satu sama lain, menghormati bangsa dan kaum-kaum lain,”titahnya.

 

 

Beliau turut mempersoalkan adakah sekolah jenis kebangsaan menggalakkan perpaduan antara rakyat Malaysia.

 

“Malaysia pun ada 1Malaysia. Awak (wartawan) beri saya satu jawapan, mana 1Malaysia?

 

“Ada sekolah India, ada sekolah Cina, ada sekolah Melayu. Daripada kecil mereka sudah diajar untuk jangan bersatu, dan selepas itu apabila sudah besar mereka disuruh bersatu,” katanya dalam sesi dialog tersebut.

 

Dalam perkembangan lain, sesi dialog itu turut menyentuh tentang penyerahan ‘pendrive’ kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Katanya, tujuan itu adalah bagi menyelesaikan masalah di dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dan bukan untuk menghukum FAM.

 

TMJ mahu agar individu-individu yang terbabit dalam salah laku teknikal seperti dalam isi kandungan ‘pendrive’ itu berundur dengan cara baik tahun depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.