Ada kesan Mufti kata wajib sokong RUU 355

SHAH ALAM – Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mewajibkan ahli Parlimen beragama Islam menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 bakal mempengaruhi persepsi rakyat.

 

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, sekiranya ahli Parlimen beragama Islam menolak untuk menyokong, masyarakat Islam pastinya akan mengecam tindakan tersebut.

 

“Apabila mufti mengatakan wajib, setiap MP menolaknya nanti akan menghadapi pandangan serong atau dikecam dalam kalangan orang Islam.

 

“Ini kerana pandangan seseorang mufti itu akan memberi pengaruh besar kepada pemikiran masyarakat Islam,” katanya kepada Sinar Online.

 

Zulkifli melalui siri Bayan Linnas: Isu Cadangan Pindaan Akta 355: Satu Pendapat menyatakan ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong manakala yang bukan Islam perlu menyokong memandangkan pindaan itu membawa ke arah kebaikan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan menyifatkan kenyataan Zulkifli sebagai satu pandangan yang mendalam serta teliti yang tidak dipengaruhi emosi.

 

“Beliau mengatakan di peringkat awal lagi, kita kena cari adab bersetuju untuk tidak bersetuju dalam hal yang berbeza pandangan.

 

“Jadi, saya rasa walaupun dia mengeluarkan pandangan RUU itu patut disokong, saya yakin dia boleh terima bahawa ada orang yang mungkin berbeza pandangan,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan ada ahli Parlimen yang akan mengambil kesempatan politik ketika tiba masanya nanti.

 

“Saya pasti akan ada yang petik pandangan mufti wilayah ini,. Macam biasalah, mereka ini apabila nak ambil kesempatan politik ini, akan petik tiga atau empat perenggan daripada berpuluh perenggan kenyataan mufti ini.

 

“Saya yakin bahagian pertama akan dilupakan oleh ramai orang ialah bahagian ‘tiada masalah bersetuju untuk tidak setuju’. Kita boleh fahamlah apabila masing-masing nak mencari faedah politik untuk parti masing-masing.

 

 

“Jadi, kematangan ilmiah dimiliki Mufti ini mungkin ambil masa untuk sampai ke kepala ahli-ahli Parlimen dan pemikiran rakyat biasa,” katanya.

 

Sementara Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, setiap ahli Parlimen mempunyai hak untuk bersetuju atau tidak dengan mana-mana RUU yang dibawa ke Parlimen.

 

“Dalam proses demokrasi, tiada sesiapa boleh mengarahkan kepada MP untuk wajibkan, halal haram dan sebagainya. Hak MP masih lagi…untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan RUU itu,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.