1MDB: Pembangkang minta agamawan beri pandangan

KUALA TEERENGGANU – Desakan pembangkang supaya agamawan termasuk mufti tampil memberi pandangan terhadap 1MDB bertujuan memastikan institusi agama di negara ini terus relevan.

 

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, desakan itu dibuat kerana pihaknya menaruh rasa sayang terhadap institusi agama untuk memastikan mereka terus dihormati, disanjung dan kredibiliti serta peranan mereka diangkat masyarakat Islam.

 

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sikap Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang meminta ahli politik menghentikan desakan sedemikian sambil menegaskan isu 1MDB bukan hanya isu kewangan sebaliknya melibatkan hukum-hakam yang perlu diambil peranan oleh mufti dan agamawan untuk menjelaskan kedudukannya dengan baik.

 

“Kepada Tan Sri Harussani, kami berhak meminta para mufti, ulama dan agamawan beri pandangan dalam isu 1MDB kerana ia libatkan perkara pokok hukum-hakam serta halal haram dalam Islam.

 

“Kepakaran ekonomi berkaitan boleh diperoleh dari ahli dalam bidang-bidang berkenaan. Bukankah golongan agamawanlah yang paling layak dalam hal ini? Kalau kami tidak meminta pandangan mereka, dari siapa lagi? Apakah yang menjadi kegelisahan Tan Sri Harussani dalam menjalankan tanggungjawab ini?’ katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini.

 

Beliau berkata sebagai mengulas kenyataan mufti tersebut sebelum ini yang meminta pemimpin politik tidak berterusan mendesak golongan agamawan, ulama dan mufti di negara ini menyuarakan pandangan terhadap isu 1MDB.

 

Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata, berdasarkan isu yang menjadi perhatian banyak negara itu, agak sukar untuk mengatakan 1MDB hanya satu prejudis, prasangka dan fitnah sebagaimana dikatakan oleh Harussani.

 

Beliau berkata, kontroversi melanda 1MDB sudah diketahui seluruh dunia, bukan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat sahaja yang mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu, malah Singapura, Switzerland, Hong Kong dan Abu Dhabi turut memperkatakan perkara sama.

 

“Jabatan Peguam Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga pernah menjalankan siasatan dan dihentikan setelah ketuanya ditukar dan diberhentikan. Berasaskan fakta-fakta di atas susahlah hendak dikatakan isu kontroversi 1MDB berasaskan semata mata prejudis, prasangka dan fitnah,” katanya.

 

Sementara itu jelasnya, mana-mana pihak tidak seharusnya menjadikan kekurangan maklumat terhadap isu yang berlaku sebagai alasan untuk mengetepikan isu terbabit.

 

Beliau berkata, pelbagai sumber boleh diambil dan dikumpul termasuk fakta yang jelas dari rekod rasmi Parlimen untuk digunakan sebagai asas untuk komen dari aspek agama.

 

“Kalau Tan Sri Harussani menyatakan para agamawan tidak mempunyai maklumat, ilmu dan kepakaran dalam isu berkenaan, itu bukan alasan yang boleh diterima kerana ulama terkenal antarabangsa seperti Dr Yusof Qardhawi dan ulama tempatan, Allahyarham Datuk Nik Aziz (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pernah mengulas isu semasa dan mereka disanjung tinggi masyarakat.

 

“Majlis Raja-Raja Melayu pun rujuk pakar tertentu sebelum membuat kenyataan tentang 1MDB. Kepakaran luar boleh dicari dan dirujuk jika ada kemahuan bersungguh-sungguh,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.