Sultan Kedah Gesa Kerukunan Hidup Masyarakat Dipertahankan

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, penyatuan umat yang sekian lama mewujudkan suasana harmoni di negara ini, kini berada dalam keadaan membimbangkan.

Baginda bertitah, keadaan ini timbul akibat pelbagai faktor yang muncul seiring kehadiran globalisasi dan dunia yang moden masa kini.

Titah baginda, penggunaan media sosial secara tidak berhemah juga meretakkan silaturahim dan menimbulkan prasangka yang sering berakhir dengan pertelingkahan.

“Sehubungan itu, pemimpin harus bijak dalam membimbing rakyat bagi mengelak sikap sangsi dan bersangka buruk yang akan mengakibatkan pergeseran dan perpecahan.

“Kerukunan hidup aman damai yang sekian lama disemai dan subur dalam masyarakat mesti dipertahankan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di sini, hari ini.

Terdahulu keberangkatan tiba baginda ke Kompleks DUN Kedah diiringi Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff, disambut Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin berharap langkah pemantauan yang ketat dilaksana bagi memastikan kilang di negeri ini mematuhi piawaian ditetapkan dan bersifat mesra alam untuk menjamin kelestarian alam sekitar.

“Dalam konteks ini, langkah pengukuhan dan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar perlu dilaksana dengan tegas bagi memastikan penjenayah alam sekitar dipertanggungjawabkan.

“Pembangunan yang berkembang pesat juga perlu menitik beratkan kepentingan hutan dan biodiversiti,” titah baginda.

Sementara itu, baginda menyambut baik hasrat syarikat penerbangan Qatar Airways yang akan melancarkan penerbangan terus dari Doha ke Langkawi, mulai 15 Oktober ini.

“Inisiatif ini berupaya membantu lebih ramai pelabur dan pelancong dari Timur Tengah dan Eropah ke pulau peranginan ini.

“Usaha juga perlu dilakukan untuk membangunkan lokasi pelancongan yang lebih menarik seperti di Gunung Keriang, Kota Kuala Kedah, Tapak Warisan Tamadun Kedah Tua serta muzium yang terdapat di negeri ini,” titah baginda. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.