Majoriti PKR Merosot Teruk Di PRK Sungai Kandis Petanda Baik Untuk BN – Tok Mat Hasan

Barisan Nasional (BN) menyifatkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis semalam merupakan ‘good signal’ kepada parti itu.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini kerana jumlah undi yang diterima parti itu dalam pilihan raya kecil kali ini tidak jauh berbeza dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

“Saya menjangkakan kita kalah teruk malam ini namun perolehan undi itu membuktikan kita mendapat 75 peratus daripada lebih 11,000 yang diperoleh semasa PRU-14 lalu.

“Keputusan tersebut lebih baik daripada PH (Pakatan Harapan) yang saya jangka mendapat 18,000 undi namun hanya memperoleh lebih 15,000 undi sahaja.

Justeru, perkara ini kita perlu lihat, kaji dan teliti (kerana undi PH merosot),” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Utama parti itu di sini, malam tadi.

Turut hadir calon BN bagi PRK itu Datuk Lokman Noor Adam.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata peratusan jumlah keluar mengundi rendah turut memperlihatkan sikap protes rakyat terhadap kerajaan PH berikutan kegagalan mereka menunaikan janji manifesto dalam PRU lepas.

“Mungkin kelebihan calon PH yang merupakan anak tempatan yang mana lebih dikenali penduduk setempat menyebabkan kemenangan berpihak kepada mereka,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan keputusan PRK itu, jelas memperlihatkan pola pemikiran pengundi pada masa ini kini semakin sukar dijangka.

Lokman pula berkata walaupun kemenangan tidak berpihak kepada BN, tetapi keputusan PRK itu merupakan titik tolak kebangkitan rakyat.

“Jangan ada yang kecewa dengan kegagalan kita, kita cuma kalah sedikit sahaja. Keputusan ini turut menunjukkan parti ini masih relevan di mata rakyat… pembangkang masih diperlukan untuk membawa suara rakyat,” katanya.

Pertembungan tiga penjuru PRK Sungai Kandis menyaksikan calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni mendapat 15,427 undi menewaskan calon BN Datuk Lokman Noor Adam (9,585 undi) dan calon Bebas K. Murthy (97 undi).

Sementara itu Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata keputusan PRK itu selain membuktikan bahawa BN berjaya menghalang PKR mencapai majoriti 10,000 orang seperti yang diwar-warkan mereka, ia juga telah melahirkan tunas kerjasama ke arah perpaduan ummah lebih padu, terutama melalui kerjasama awalan UMNO dan PAS.

“Kerjasama ini bakal merubah landskap politik negara tidak lama lagi. Bagi BN ini satu kejayaan kerana berjaya menghalang PKR mencapai sasaran 10,000 majoriti, merendahkan sokongan kepada mereka sebanyak 50 peratus dan membangkit kesedaran majoriti rakyat menolak kerajaan PH,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.