Lelaki Melayu Ramai Dijangkiti HIV Kerana Aktiviti Songsang LGBT

KUALA LUMPUR – Selepas dilaporkan golongan yang mengamalkan aktiviti seks songsang membabitkan homoseksual dan biseksual menjadi faktor tertinggi penularan HIV, namun apa yang membimbangkan apabila pecahan kaum menunjukkan orang Melayu paling ramai dijangkiti virus berkenaan sepanjang 2017.

Lebih mengejutkan, mengikut pecahan kaum, 54 peratus mewakili 1,800 individu daripada 3,347 jumlah keseluruhan kes baharu penghidap HIV merupakan orang Melayu.

Jumlah itu lebih dua kali ganda lebih tinggi berbanding kaum Cina iaitu sebanyak 725 dan lebih besar berbanding kaum India ia­itu hanya 240 kes baharu.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan Sektor HIV/STI, Bahagian Kawalan Pe­nyakit, Kementerian Kesihatan, jumlah kes baharu HIV dalam kala­ngan orang Melayu menurun berban­ding tahun-tahun sebelum ini dengan mencatatkan sebanyak 1,953 kes pada tahun 2016 dan 1,838 kes pada tahun 2015.

Di samping itu, bagi pecahan jantina pula, lelaki Melayu mencatatkan seramai 1,600 kes baharu dijangkiti HIV manakala pe­rempuan pula sebanyak 200 kes dengan perbandingan sebanyak 2,890 bagi keseluruhan lelaki dan 457 perempuan seluruh negara.

Utusan Malaysia pada Khamis lalu melaporkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) merupakan kumpulan tertinggi kes baharu dijangkiti HIV iaitu melebihi 50 peratus daripada 3,347 individu yang menjadi penghidap virus berkenaan.

Dalam laporan itu turut memaklumkan 1,697 individu dalam kumpulan homoseksual dan biseksual selain 1,335 kes dalam kategori heteroseksual merupakan kelompok tertinggi kes baharu dijangkiti HIV sepanjang tahun lalu.

Senario membimbangkan itu sekali gus menunjukkan hampir 90.6 peratus kes baharu penularan HIV adalah disebabkan hubungan seks sedangkan kadar jangkitan dalam kalangan penagih dadah pula mencatatkan penurunan mendadak pada kadar tidak sampai empat peratus.

Dalam pada itu, mengikut pe­cahan negeri pula, Selangor mencatatkan pembawa HIV baharu paling ramai dengan 968 kes di­ikuti dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 464 kes selain Johor 347 kes.

Faktor itu turut dipengaruhi oleh perpindahan penghidap HIV untuk tujuan bekerja di Lembah Klang selain pesakit berpindah untuk mendapatkan rawatan luar daripada tempat asal kelahiran berikutan kebimbangan stigma negatif terhadap penghidap virus berkenaan.

Secara keseluruhannya, dalam tempoh 1986 sehingga 2016, seramai 111,916 kes HIV dicatatkan dengan jumlah 93,089 penghidap virus itu masih hidup selain jumlah kanak-kanak di bawah 13 tahun yang dijangkiti adalah seramai 1,146 orang. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.