Alisson Berjaya Pertahan Gawang Liverpool Tanpa Bolos

DUBLIN – Penjaga gol Brazil, Alisson membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya memastikan gawangnya tidak bolos ketika Liverpool menang 5-0 ke atas Napoli di Dublin, awal pagi tadi.

Naib juara Liga Juara-Juara musim lalu itu tidak menunggu lama untuk memimpin perlawanan dengan James Milner dan Georginio Wijnaldum berjaya menembusi jaring Napoli seawal 10 minit aksi pada aksi pramusim di Stadium Aviva.

Bagaimanapun, Milner terpaksa dibawa keluar pada awal babak kedua selepas bintang skuad Piala Dunia England itu mengalami kecederaan selepas berlanggar dengan pertahanan Napoli, Mario Rui yang turut menyaksikannya menerima 15 jahitan.

Mohamed Salah yang menyumbat 32 gol dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim lalu, menambah gol ketiga buat Liverpool pada minit ke-58.

Dua gol terakhir dicetak menerusi Daniel Sturridge pada minit ke-73 dan Alberto Moreno empat minit berselang untuk memastikan skuad kendalian Juergen Klopp meraih kemenangan selesa ke atas kelab Serie A itu.

Kemenangan itu pastinya melegakan Klopp terutamanya dengan aksi hebat Alisson yang tampil kali pertama selepas berpindah dari AS Roma dengan bayaran 75 juta euro (RM354 juta) sekali gus muncul penjaga gol termahal dunia.

Selepas ini, Liverpool bertemu satu lagi kelab Itali, Torino sebelum turun menentang West Ham dalam aksi pertama Liga Perdana hujung minggu depan. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.