Rabies: 26,228 Haiwan peliharaan Divaksin di Sarawak

Sebanyak 26,228 ekor haiwan peliharaan telah divaksin setakat ini dalam usaha membendung penularan wabak Rabies atau anjing gila di Sarawak.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata daripada jumlah itu, sebanyak 18,587 anjing, 7,596 kuching dan 45 haiwan lain diberi vaksin itu.

“Hari ini, sebanyak 1,196 anjing divaksinkan pada program pemvaksinan anjing bagi mengawal penularan wabak rabies secara besar-besaran di Dewan Bola Keranjang, Siburan dan Dewan Masyarakat Krokong bermula 10 pagi hingga 4 petang tadi.

“Selain itu, pemvaksinan juga dijalankan ke beberapa kawasan kampung iaitu Kampung Tringgus Rabak Rotan, Kampung Tringgus Bong, Kampung Tringgus Matan, Kampung Stampin dan Stutong,” kata sekretariat itu dalam satu kenyataan.

Esok, program pemvaksinan anjing akan dijalankan di Dewan Bola Keranjang Sungai Apong di Kuching, manakala di kawasan Bau di Kampung Suba Bau, Kampung Suba Bandar, Kampung Grogo, Kampung Nowang, Kampung Opar, Kampung Rumeh, Kampung Tembawang Sauh dan Bau, Kampung Stenggang, Kampung Pioram Stenggang, Kampung Sepadah dan Kampung Jugan.

Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai wabak Rabies, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak mengadakan sebanyak 159 kempen kesedaran di kampung dan sekolah di kawasan terlibat yang dihadiri 31,363 peserta.

Setakat ini, wabak Rabies telah meragut lima nyawa di negeri itu.

Sementara itu, sekretariat itu berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan bahawa sebanyak 27 kes gigitan dilaporkan hari ini.

“Sebanyak 13 kes dilaporkan di Bahagian Serian, Bahagian Sri Aman dua kes dan Bahagian Kuching 12 kes. Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku sejak 1 April hingga ke hari ini adalah 1,442 kes,” kata sekretariat itu.

Proses tarik balik

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Fuziah Muhayat berkata proses penarikan balik pewartaan kawasan penyakit anjing gila atau rabies hanya akan dilakukan jika tiada sebarang kes tempatan dikesan pada mana-mana spesies haiwan atau manusia selama tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

Katanya, ia tidak digalakkan ditarik dalam masa yang terdekat memandangkan punca kuasa semua aktiviti kawalan penyakit rabies ini terkandung dalam pewartaan tersebut.

“Sekiranya terdapat pengasingan lyssa virus (penyebab penyakit rabies), pewartaan tersebut akan diteruskan sehingga sampel yang diambil adalah negatif sekurang-kurangnya dua tahun.

“Perkara ini juga bercanggah dengan Terrestrial Animal Health Code (OIE) yang mensyaratkan tempoh bebas adalah selepas dua tahun kes terakhir yang dilaporkan bersama semua syarat-syarat lain yang perlu dipatuhi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata tempoh pengawasan serta kawalan mengambil masa yang lebih lama bagi memastikan kawasan berkenaan bebas daripada ancaman rabies.

Dr Fuziah berkata bagaimanapun, status keadaan penyakit berkenaan akan terus dipantau secara berkala melalui program survelan yang telah dijalankan.

“Pada masa ini, 44 sampel telah dibuat (rabies). Itu termasuk yang pertama iaitu positif. Jadi dalam kes ini hanya tiga sampel yang belum selesai,” katanya.

Setakat ini, JPV Perak menyuntik vaksin terhadap 127 ekor anjing dan 242 kucing dengan jumlah pemilik haiwan berkenaan sebanyak 108 orang.

Pada 17 Julai lepas, kerajaan Perak melalui Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mewartakan mukim Matang dalam daerah Larut Matang dan Selama sebagai kawasan penyakit anjing gila atau rabies.

 

Beliau berkata pewartaan itu dikeluarkan di bawah Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila yang berkuat kuasa pada hari berkenaan.

Pada 12 Julai lepas, seekor anjing mati akibat rabies iaitu lapan hari selepas menggigit dua kanak-kanak perempuan berumur 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.