Video: Janise Peserta Berbangsa Cina Pertama Wakili Negara Di PABM

Bangi – Seorang penuntut undang-undang berbangsa Cina dari Universiti Malaya (UM), Janise Then Siaw Lian, 23, mencatat sejarah sebagai peserta pertama bukan berbangsa Melayu yang mewakili Malaysia dalam Pertandingan Pidato Bahasa Melayu 2015 Piala Perdana Menteri (PABM 2015) sejak ianya diperkenalkan sembilan tahun lalu.

 

Bersyukur dengan pemilihannya, gadis kelahiran Kota Samarahan, Sarawak ini menyatakan keterujaannya untuk melakukan yang terbaik bagi mengharumkan nama negara menerusi pertandingan tahunan yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi itu.

 

Janise memilih tema Perpaduan sebagai intipati pidato yang bakal dibentangkannya bermula Selasa ini.

 

“Saya memilih tema Perpaduan kerana ia lebih dekat dengan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

 

 

Janise mewakili Malaysia dalam PABM 2015 kategori Alam Melayu.

 

“Saya akan bawakan topik yang membawa kepada perasaan cintakan negara dan patriotisme di kalangan rakyat Malaysia,” katanya kepada SuaraTV di sini hari ini.

 

PABM 2015 akan berlangsung bermula Selasa ini dan pertandingan akhir akan diadakan pada 7 ogos bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

 

Ketika ditanya tentang persiapannya, Janise berkata dia sentiasa berlatih dengan jurulatih bagi memperbaiki mutu penyampaian pidato selain menambah baik lagi input-input yang ingin disampaikan pada pertandingan itu nanti.

 

“Jurusan Undang-Undang yang saya ambil membantu dari segi pemikiran sementara jurulatih yang bagus serta universiti pula mempunyai satu kelab khusus untuk pengucapan awam, perkara-perkara inilah yang menjadikan saya hari ini,” katanya yang berharap dalam membawa pulang trofi kemenangan PABM bagi kategori yang disertainya.

 

Selain Janise, Malaysia turut diwakili penuntut jurusan Teknologi Maklumat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Akmal Aizat Umar, 23, yang pertama kali terpilih menyertai pertandingan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.