Tenis: Gasquet Sah Sertai Terbuka Malaysia

RICHARD Gasquet yang mara ke separuh akhir kejohanan Wimbledon tahun ini, mengesahkan penyertaannya di kejohanan tenis Jelajah ATP 250 Terbuka Malaysia (MOKL) di Stadium Putra, Bukit Jalil dari 26 September hingga 4 Oktober.

 

Ini adalah kali kedua pemain berusia 29 tahun dari Perancis itu menyertai MOKL yang menawarkan hadiah berjumlah AS$1,041,540 (RM4,013,782) sejak kejohanan tersebut diperkenalkan pada 2009.

 

Gasquet dalam kenyataan yang dikeluarkan penganjur MOKL berkata dia gembira untuk kembali beraksi di Kuala Lumpur selepas membuat penampilan pada edisi sulung 2009.

 

“Sokongan yang diberikan peminat cukup hebat, mereka ramah dan layanan juga mesra. Saya gembira untuk kembali ke Kuala Lumpur,” katanya.

 

Ini adalah kali ketiga Gasquet beraksi di negara ini selepas kali pertama tampil dalam perlawanan Clash of the Titans menentang bekas pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2007. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.