Rokok Elektronik Dan Vapor Haram – Mufti Wilayah Persekutuan

Kuala Lumpur – Penggunaan rokok elektronik dan vapor yang semakin digilai termasuk dalam kalangan remaja perempuan adalah haram.

 

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, ini kerana rokok elektronik dan Vapor atau Vape itu terdapat bahan tembakau dan nakotin yang asalnya daripada bahan yang boleh memabukkan dan memberi mudarat kepada kesihatan manusia.

 

“Anggapan rokok salah satu cara untuk menolong perokok berhenti daripada merokok juga adalah menyimpang.

 

“Kenyataan pakar menunjukkan rokok elektronik dan Vapor mudarat bahkan boleh jadi lebih mudarat daripada merokok itu sendiri.

 

“Selain memudaratkan kesihatan, ia juga satu pembaziran, meniru budaya yang bukan Islam dan dilihat tidak bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sehubungan itu, Zulkifli menggesa umat Islam supaya tidak menggunakan rokok elektronik atau vapor.

 

“Alangkah baiknya duit yang kita gunakan untuk membeli rokok atau vapor, kita masukkan ke tabung masjid, menyantuni anak-anak yatim, memberi makan kepada fakir miskin serta membantu keperluan mereka,” katanya lagi.

 

Rokok Elektronik (Elecronic Nicotine Delivery Systems atau e-Cigarette) adalah sebuah inovasi dari bentuk rokok konvensional menjadi rokok moden.

 

Antara alasan diberikan pengguna rokok elektronik dan Vapor adalah sebagai pengganti kepada rokok sebenar dan kaedah untuk berhenti merokok secara perlahan-lahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.