Perintah Berkurung Dilanjutkan Ekoran Ancaman Abu Sayyaf

Perintah berkurung di Sabah dilanjutkan buat kali yang ke-25 berikutan ancaman berterusan daripada kumpulan pemberontak Abu Sayyaf di Selatan Filipina.

 

Perintah berkurung yang berakhir esok akan disambung dua minggu lagi sehingga 21 Ogos, sementara Ketua Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, ia perlu dilakukan bagi memastikan tahap keselamatan di laut terutamanya di sepanjang Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone).

 

Ia merangkumi Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau.

 

“Melalui perintah berkurung, pemantauan terhadap pergerakan kapal dapat dilakukan merentasi kawasan yang sering berlaku kes rompakan dan penculikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, perintah berkurung bermula jam 7 petang hingga 5 pagi itu dilanjutkan di bawah Seksyen 31 (4) Akta Polis 1967, mendapat sokongan pengusaha pusat peranginan dan industri perikanan, kerana ia berkesan untuk mengekalkan keselamatan di kawasan terbabit di mana sekurang-kurangnya tiga kes penculikan rentas sempadan berlaku tahun lalu.

 

Jalaluddin turut menasihatkan nelayan untuk mendapatkan permit daripada Ketua Polis Daerajh bagi menjalankan aktiviti ketika perintah berkurung dijalankan melibatkan tiga batu nautika daripada pesisir.

 

Pasukan keselamatan menjalankan perintah berkurung bermula 18 Julai di Esszone selepas serangan di Mabul Water Bungalows di Semporna pada 12 Julai lalu menyebabkan kematian seorang anggota polis manakala seorang lagi diculik oleh kumpulan jenayah rentas sempadan. Anggota yang diculik terbabit bagaimanapun dibebaskan kemudian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.