Perceraian Gwen-Gavin Buat Peminat Menangis

Kuala Lumpur – Berita perceraian tentang penyanyi utama kumpulan No Doubt, Gwen Stefani dan suaminya, Gavin Rossdale sememangnya cukup mengejutkan sehinggakan peminat mereka seperti tidak dapat menerima hakikat itu.

 

Bukan hanya peminat, tetapi berita itu juga benar-benar menjadi satu berita luar biasa di Hollywood dua hari lepas apabila ramai yang tidak menyangka pasangan yang sudah berkahwin hampir 13 tahun itu akan menamatkan hayat rumah tangga mereka.

 

Seperti mana yang dilaporkan dalam Us Weekly, berita itu benar-benar memberikan impak yang besar buat Stefani sendiri kerana baginya, perkahwinan itu sememangnya adalah sesuatu yang diimpikannya sebagai seorang wanita.

 

“Sudah semestinya Gwen sangat berdukacita dengan apa yang berlaku. Dia telah mencurahkan segala-galanya dan banyak berkorban bagi memastikan perkahwinan mereka akan dapat diteruskan. Apatah lagi dia sangat mencintai Gavin.

 

“Namun, dia sendiri sudah tidak mampu bertahan lagi dan perceraian adalah jalan terbaik untuknya dan Gavin menjalani kehidupan masing-masing selepas ini. Keutamaan sekarang adalah untuk terus fokus terhadap anak-anak mereka,” jelas sumber yang enggan dikenali kepada Us Weekly.

 

Pada 3 Ogos lalu, pasangan itu mengumumkan perceraian mereka dalam satu kenyataan bersama sambil menyifatkan apa yang berlaku tidak akan sama sekali merubah perasaan dan tanggungjawab terhadap tiga orang anak mereka.

 

“Apa yang kami minta sekarang ini adalah untuk terus diberi ruang peribadi buat kami dan kami harap pihak media faham akan situasi yang sedang kami lalui kini,” jelas mereka dalam kenyataan itu lagi.

 

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada tahun 2002 dan hasil daripada perkahwinan itu mereka dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata iaitu Kingston, 9; Zumba, 6 dan Apollo, setahun lima bulan.

 

Sumber itu menambah, Stefani mahu memastikan keadaan anak-anaknya dalam keadaan terbaik dan mengelakkan pergaduhan bersama dengan Gavin di hadapan anak-anak mereka.

 

“Buat masa ini, kedua-dua masih lagi berbincang untuk mendapatkan hak penjagaan bersama dan merancang untuk membahagikan mata pencarian masing-masing,” kata sumber itu lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.