Peniaga Aksesori Kereta Didenda Gagal Patuhi GST

KOTA BHARU – Seorang wanita pemilik kedai aksesori kereta didenda RM5,000 selepas mengaku salah gagal mematuhi Peraturan-peraturan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014, di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

 

Low So Uen, 43, sebagai orang berdaftar di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta 762) atau GST membuat perbekalan bercukai pada 17 April lalu.

 

Tertuduh bagaimanapun mengeluarkan invois cukai bernombor siri yang tidak mengandungi butir yang ditetapkan di bawah Peraturan 22, Peraturan-peraturan Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta 762) di alamat Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, pada jam 12 tengah hari, tarikh itu.

 

Sehubungan itu, tertuduh dihukum mengikut Seksyen 96 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM30,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

 

Terdahulu, tertuduh pada prosiding itu, memohon mahkamah mengurangkan hukuman ringan dengan alasan cap yang dihantar masih dalam proses untuk disiapkan, namun Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Koh Joo Kai memohon hukuman setimpal.

 

“Saya memohon mahkamah memberi hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

 

Hukuman diputuskan Hakim, Adli Md Ghalib. Tertuduh kemudian bebas selepas menjelaskan denda tersebut. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.