PABM: Peserta Rusia Ingin Perbaiki Intonasi

Bangi – Peserta dari Rusia, Pavel Naidenov yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir menyatakan dia ingin memperbaiki intonasi dalam penyampaian pidato agar dirinya layak bergelar tiga finalis Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015 (PABM 2015).

 

Pavel yang menuntut dalam Pengajian Bahasa Melayu di Moscow State University berharap dapat mengulangi kejayaan peserta-peserta Rusia dalam edisi terdahulu yang berjaya melangkah masuk ke peringkat akhir PABM.

 

“Saya harap boleh masuk peringkat akhir kerana sudah dua tahun wakil dari Rusia tidak berjaya memasuki ke peringkat akhir, oleh itu saya sangat-sangat berharap dapat masuk final.

 

“Saya berusaha untuk memberi yang terbaik dan saya ingin memperbaiki intonasi dalam penyampaian selain menghafal teks ucapan di hadapan rakan-rakan yang lain agar saya dapat mencari kesalahan dalam teks pidato yang disediakan,” katanya yang ditemui ketika pengumuman peserta yang layak ke separuh akhir diadakan di Universiti Tenaga Nasional, Uniten, di sini hari ini.

 

 

Pavel turut menyifatkan di antara 10 peserta separuh akhir, peserta dari United Kingdom, Australia, Jepun dan China merupakan antara pesaing terhebat yang perlu dihadapinya sebelum berjaya melangkah ke peringkat akhir.

 

Pertandingan yang memasuki tahun kesembilan itu disertai 71 pelajar yang mengambil jurusan pengajian bahasa Melayu di institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh dunia.

 

Ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori Alam Melayu; Kategori Antarabangsa dan Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia.

 

Ia akan berlangsung selama lima hari mulai Selasa dengan peringkat akhir bakal diadakan pada 8 Ogos di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

 

Bermula tahun ini, peserta hanya diberikan tema pidato dan bukan lagi tajuk seperti penganjuran sebelum ini bagi menggalakkan kepelbagaian tajuk berasaskan tema.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!