Maya Nafi Orang Ketiga Punca Rumah Tangga Goyah

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi Maya mengakui faktor utama beliau mengunci mulut berhubung keretakan rumah tangganya dengan Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz, 44, adalah bagi menjaga hati kedua belah pihak keluarganya.

 

Penyanyi yang dikenali dengan lagu Matahari itu mengulas desas desus mengenai mahligai yang dibina sejak Jun tahun 2009 ,selepas sekian lama mengunci mulut.

 

Namun, beliau menepis dakwaan mengatakan masalah rumah tangganya berlaku adalah disebabkan kehadiran orang ketiga.

 

Maya menjelaskan beliau dan suami kini tidak lagi tinggal sebumbung namun masih menjalinkan hubungan baik.

 

“Tidak semua perkara berpunca daripada orang ketiga. Tidak dinafikan pelbagai cerita sampai ke telinga saya, namun saya memilih untuk tidak terlalu mendengar cerita tanpa bukti kukuh.

 

“Sudah lama saya mengunci mulut dan tidak mengulas lanjut berhubung kontroversi ini. Ya, saya akui saya dan suami sudah lama tidak tinggal sebumbung.

 

“Malah, kemelut rumah tangga kami sudah berlarutan sekian lama. Saya akui perlu mengambil tindakan lanjut secepat mungkin bagi mengelakkan fitnah.

 

“Tidak kira apa kesudahannya, saya dan suami masih berhubung secara baik,” katanya kepada BH Online.

 

Mengulas lanjut, Maya berkata, status perkahwinannya masih lagi tergantung dan belum mempunyai kata putus. Namun dia mengakui tidak mahu terlalu memikirkan masalah hal rumah tangga dan ingin lebih fokus kepada kerjaya seninya.

 

“Umur pun hampir mencecah 40 tahun, jadi saya rasa banyak benda yang saya belajar dan ambil yang positif saja. Saya menganggap setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya dan menjadikan saya seorang yang sangat tabah.

 

“Selain kerjaya, saya juga memberi fokus kepada ibu saya yang diserang sakit jantung. Saya dan adik beradik lain mengambil giliran menjaga ibu saya. Disamping itu, saya juga mempunyai jadual kerja yang padat,” kata Maya.

 

Dalam perkembangan terkini, Maya meluahkan rasa teruja diberikan peluang untuk menjayakan teater Y disamping Fathia Latiff, Aiman Hakim Redza dan ramai lagi.

 

“Saya begitu teruja kerana pertama kalinya bakal bekerja dengan mereka. Saya diberikan amanah untuk menjayakan watak Rahimah menggantikan Elly Mazlein yang sedang hamil.

 

“Elly terpaksa menolak watak ini kerana kesihatannya tidak mengizinkan. Saya menganggap tawaran pada saat akhir ini sebagai salah satu cabaran untuk saya harungi,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.