Mangsa Dera Merupakan Budak Periang

Kuala Lumpur – Berita kematian kanak-kanak periang akibat dipukul dengan teruk oleh kekasih ibunya, semalam, mengejutkan saudara terdekat mangsa.

 

Saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, kali terakhir menemui mangsa pada Sabtu lalu selepas diberitahu kanak-kanak berusia tujuh tahun itu demam.

 

Menurutnya, mangsa tinggal bersama ibu, 35 dan kakaknya yang berusia 15 tahun di sebuah flat kos rendah di Taman Kosas, Ampang.

 

“Kami sekeluarga terkejut dengan berita ini kerana mangsa seorang yang ceria dan tidak menunjukkan sebarang tanda sakit sebelum ini.

 

“Dia rapat dengan ibu dan kakaknya selepas ibu bapa mereka berpisah kira-kira dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.

 

Katanya, ibu mangsa yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak sejak dua tahun lalu berkenalan dengan seorang lelaki berusia 41 tahun.

 

Menurutnya, ahli keluarga tidak mengenali lelaki tersebut dan jarang berjumpa serta mengetahui namanya Zack dan bekerja sebagai kedi golf.

 

“Walaupun kami tinggal berdekatan, tetapi jarang berjumpa dan lelaki tersebut dipercayai dikenali ibu mangsa sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

 

Sumber itu berkata, ibu mangsa meminta bantuan daripada isterinya untuk menjaga dua kanak-kanak yang diasuh kerana mahu menghantar anaknya ke hospital.

 

Menurutnya, tidak menyangka mangsa ketika itu sudah meninggal dunia.

 

“Keluarga masih menunggu laporan bedah siasat dan akan memikirkan tindakan kemudian,” katanya.

 

Dalam kejadian 8.55 pagi semalam, kanak-kanak berusia tujuh tahun maut selepas dipercayai dipukul teman lelaki ibunya, susulan penemuan kesan luka lama di bahagian kemaluan, pinggang kiri, tangan dan muka.

 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, suspek, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.