Mampukah JDT Rampas Takhta Pendahulu Liga Super Malam Ini?

KUALA LUMPUR – Pasukan Pahang terus gah mendahului takhta Liga Super selepas 16 perlawanan, namun Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat terus mengekori rapat di tangga kedua.

 

Setakat ini, skuad Tok Gajah bimbingan Zainal Abidin Hassan ini sudah pun menghimpun 36 mata. Namun mereka tidak selesa kerana pesaing terdekatnya itu hanya ketinggalan dua mata.

 

Kedua-dua pasukan ini kini dilihat menjadi pilihan untuk meraih gelaran juara pada penghujung musim, selepas pesaing lain dilihat agak jauh ketinggalan dari segi jumlah kutipan mata.

 

Merapati dua pasukan teratas adalah Perak dengan himpunan 27 mata, diikuti Lions XII kurang satu mata di belakang manakala Selangor dan FELDA United masing-masing 25 mata untuk menduduki tangga kelima dan keenam.

 

Malam ini semua pasukan akan kembali berentap dengan harapan menggunung untuk menggapai mata penuh.

 

Pahang sudah pasti tidak mahu keciciran mata apabila turun menyambut kunjungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Darul Makmur, jam 8.45 malam ini, manakala JDT juga harus memiliki naluri sama apabila melayan Sime Darby di laman sendiri.

 

Pada waktu sama sebarang kesilapan daripada skuad Tok Gajah di depan penyokong sendiri, JDT seharusnya mampu memintas mereka untuk merampas takhta pendahulu.  – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.