‘GHB Bukan Perjuangan Nik Aziz’

Kuala Lumpur – Gerakan Harapan Baru (GHB) bukanlah perjuangan yang diwarisi daripada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

 

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Mohd Nasuruddin Daud menegaskan, Allahyarham Nik Abdul Aziz tetap bersama PAS, walaupun parti itu pernah dilanda perpecahan.

 

“Allahyarham Tok Guru (Nik Abdul Aziz) tetap dengan PAS, walaupun ada Hamim (Parti Hizbul Muslimin Malaysia), ada Berjasa (Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia). Tok Guru (Nik Abdul Aziz) pun meninggal dunia dalam PAS.

 

“GHB tak selaras dengan perjuangan Allahyarham Nik Abdul Aziz, walaupun ada dakwaan macam itu,” katanya ketika berucap pada Ceramah Isu Semasa PAS, di Markas PAS Kuala Krai, malam tadi.

 

Mohd Nasuruddin dalam ucapannya turut berkata, DAP adalah sebuah parti ‘cakap tak serupa bikin’ dan mempergunakan PAS semata-mata untuk meraih kemenangan pada pilihan raya umum.

 

“PAS tak putus hubungan dengan DAP, tapi DAP yang (mula-mula) putuskan hubungan dengan PAS (dalam pakatan pembangkang),” katanya.

 

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan tindakan GHB terus menyerang Kelantan, walaupun ia adalah negeri pimpinan pembangkang.

 

Jelasnya, strategi berkenaan akan merugikan pembangkang, kerana dilihat akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

 

“Ramai penganalisis (politik) menganggap ini satu strategi yang tak betullah,” katanya yang turut mempersoalkan mengapa GHB perlu menarik ahli PAS menyertai gerakan itu, kerana ia tidak memberi sebarang nilai tambah kepada pembangkang.

 

Ditanya mengenai tindakan provokasi beberapa bekas pimpinan tertinggi PAS, terutama Ahli Parlimennya yang dilihat mencabar parti itu untuk memecat mereka, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya menggunakan kaedah ‘pujuk dan bincang’ sebelum sebarang tindakan disiplin dikenakan terhadap mereka.

 

“Pertamanya dari segi peraturan parti, sekiranya mana-mana Anggota Parlimen masuk parti lain, secara automatik dia akan hilang keanggotaan.

 

“Yang keduanya, semua calon PAS terikat dengan baiah, kalau ikut baiahnya, dia mesti mengosongkan kerusi yang dia menang dan beri semula mandat kepada rakyat.

 

Kalau dia tak buat, dia langgar baiah dialah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.